Teknologi, kemahiran boleh lonjakkan hasil getah negara

Teknologi, kemahiran boleh lonjakkan hasil getah negara

Teknik torehan yang betul dan menggunakan pisau tajam membolehkan pokok getah ditoreh lebih lama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Malaysia pernah menjadi pengeksport dan pengeluar getah nombor satu dunia pada tahun 1980-an namun selepas negara terlibat dalam penanaman sawit dan kejatuhan harga komoditi yang teruk pada akhir 1990-an, pengeluaran getah negara turut terjejas.

Kejatuhan harga turut memaksa ramai petani meninggalkan tanaman getah sehinggakan Malaysia mengimport getah bagi memenuhi permintaan malah negara menjadi pengimport getah terbesar dunia terutama mendapatkannya dari Thailand.

Namun masa depan industri getah negara masih mempunyai harapan dengan pelbagai usaha diambil oleh agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa (IRDRDB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Selain penggunaan teknologi moden termasuk penggunaan robot, kaedah penorehan getah yang betul juga sangat penting dalam menghasilkan pengeluaran getah yang banyak untuk kekal mampan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung IRDRDB, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, kebanyakan pekebun kecil masih tidak menggunakan teknik betul untuk menoreh getah menyebabkan pengeluaran hasil getah rendah dan batang pokok getah mengalami kerosakan.

Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir

“Menoreh getah ibarat pembedahan, kena guna cara penorehan yang betul seperti menggunakan pisau yang tajam, kalau tidak habislah rosak,” katanya pada Seminar Halatuju Pekebun Kecil Getah Negara di sini minggu lalu.

Menurut beliau, cara penorehan yang betul seperti menggunakan pisau yang tajam dapat menjadikan pokok getah bertahan lebih lama dan menjaga kualiti kayu untuk digunakan dalam menghasilkan perabot berkualiti tinggi.

“Pokok getah ini bukan sahaja kita boleh ambil susunya tetapi kayu itu sendiri kebanyakannya digunakan untuk membuat perabot-perabot mahal dan berkualiti tinggi,” katanya
Abdul Aziz berkata, seperti di Thailand, mereka sangat mengambil berat dalam teknik penorehan getah dengan menawarkan kursus kepada penoreh-penoreh selama tiga hari tentang cara pengasahan pisau dan diberikan sijil.

“Berbeza dengan di Malaysia, pisau sudah tumpul pun masih digunakan oleh penoreh yang menyebabkan benjolan pada pokok getah dan menjadikan kualiti kayu tidak baik,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan terkini, lebih ramai pekebun tidak mampu untuk menoreh getah dan terpaksa mengupah kontraktor untuk menoreh menjadikan mereka tidak mengamalkan teknik torehan yang betul menjadikan pokok getah itu rosak.

Katanya, bagi meneruskan kemampanan industri getah, usaha mempertingkatkan ‘extension service’ bersama pihak Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu dilakukan bagi mengenalpasti dan mencari solusi supaya industri getah lebih maju.

“Waktu saya dalam perkhidmatan dahulu, kita telah hantar 200 pegawai untuk kerja extension dan kita juga ada melaksanakan kajian dengan akademi sains, jadi saya harap perkara ini diteruskan,” katanya.

Tambahnya, pihak kerajaan dan berkepentingan juga perlu mengadakan perbincangan bersama Kesatuan Eropah berkenaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan yang menyasarkan komoditi utama Malaysia, termasuk minyak sawit, kayu, koko dan getah.

“Kerajaan perlu berbincang berkenaan peraturan ini, sebab peraturan ini menjadikan pasaran seperti getah sukar untuk tembus ke eropah, kita perlukan kerjasama antarabangsa untuk selesaikan perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya