Teknologi gas perangsang susu getah tingkat produktiviti

Teknologi gas perangsang susu getah tingkat produktiviti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Pelbagai teknologi diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil dan produktiviti getah negara.

Antara teknologi yang diperkenalkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) adalah menghasilkan gas perangsang dan sistem torehan intensiti rendah (LITS) untuk meningkatkan lagi produktiviti getah dan akan digunakan menjelang tahun hadapan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli berkata, teknologi tersebut bakal digunakan oleh semua pemain industri getah melibatkan semua peringkat termasuk huluan, pertengahan dan hiliran.

Mad Zaidi Mohd. Karli

“Gas stimulan ini akan diberi kepada pokok getah yang sudah berusia 25 tahun ke atas dan yang tidak sihat untuk membantu hasil cuplump meningkat,” katanya dalam Seminar Halatuju Pekebun Kecil Getah Negara minggu lalu.

Tambahnya, beliau sendiri turun padang ke Projek Rintis Penggunaan Gas Stimulan HEVEA 3 di Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, Kedah dan melihat sendiri kejayaan teknologi tersebut dalam menambahkan susu getah.

“Apa yang saya dapat lihat, dengan menggunakan gas ini, cuplump dapat ditambah kepada 300 peratus berbanding sebelum ini yang sangat sedikit, dan insya-Allah kita semua akan dapat menerima kesannya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, KPK juga aktif mewujudkan Projek Rintis Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) dan Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) sebagai satu inisiatif untuk mewujudkan sinergi mentransformasikan rantaian nilai industri getah ke arah lebih mampan.

“Sinergi tersebut penting bagi memastikan industri getah kekal mampan dan sebagai usaha dalam meningkatkan lagi pengeluaran susu getah tempatan,” katanya.

Katanya, projek rintis MSNR itu melibatkan beberapa negeri terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang melibatkan penyertaan pekebun kecil, peniaga getah, dan kilang pemprosesan.

Menurut Mad Zaidi, model baharu IPL itu juga berfungsi untuk mengelakkan produk yang dihasilkan melalui getah ini tidak dapat dijual disebabkan ketidakpatuhan dalam Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) yang terlalu banyak kekangan.

“EUDR terlalu banyak halangan, seolah-olah mereka menidakkan produk kita untuk masuk ke dalam pasaran luar negara, bukan sahaja sawit tetapi juga getah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya