TUMPAT: Kira-kira 30 petani dari Kampung Kajang Sebidang dan Teluk Jering di sini mendakwa kerugian lebih RM100,000 apabila padi yang sudah masak tidak dapat dituai ekoran masalah tanah jerlus.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kerja-kerja menuai padi di kawasan seluas 40 hektar itu tergendala selepas jentera menuai ‘tersangkut’ di dalam tanah jerlus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohamad Endut, 75, mendakwa, ekoran masalah itu hanya dua daripada empat hektar kawasan padi yang diusahakannya dapat dituai dan selebihnya terpaksa dibiarkan begitu sahaja.
Dakwanya lagi, masalah itu berlaku disebabkan petak sawah masih digenangi air ekoran kegagalan sistem pengairan.
“Sepatutnya tanah sawah kering kerana musim menuai, tetapi disebabkan oleh pintu air tidak berfungsi dengan baik, air tidak dapat mengalir keluar.
“Pada masa sama, kami petani disini turut berdepan dengan masalah air pasang juga menyebabkan air sungai masuk ke dalam petak sawah semasa padi sudah masak,” katanya.
Mohamad memberitahu, masalah itu menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM15,000.
Seorang lagi pesawah, Abdullah Othman, 55 berkata, sebelum ini kerja menuai padi dapat diselesaikan dalam tempoh dua jam bagi keluasan satu hektar.
Katanya, disebabkan masalah itu proses menuai padi mengambil masa empat hari bagi keluasan yang sama.
“Sudah tiga hari jentera menuai padi tersadai dalam tanah jerlus. Ini bukan kali pertama, malah ia sudah berlarutan sebanyak 10 kali.
“Situasi itu menyebabkan jentera menuai terpaksa ditarik dengan jengkaut sekali gus mengganggu kerja-kerja menuai,” ujarnya.-UTUSAN