Tanah adat dirampas, wakil penduduk lapor SPRM

Tanah adat dirampas, wakil penduduk lapor SPRM

MHO) bersama beberapa penduduk dari tiga daerah di Sabah membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga wakil penduduk kampung di tiga daerah di Sabah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini supaya menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pemilikan tanah adat di kawasan mereka.

Penduduk dari Kampung Monpock (Semporna), Kampung Serundong Ulu (Kalabakan, Tawau) dan Kampung Minusuh (Tongod) itu mendakwa mereka tiada lagi tempat untuk mengadu, malah aduan kepada pejabat tanah daerah dan mahkamah juga tidak dilayan dengan baik.

Salah seorang penduduk Kampung Serundong, Ulu Kalabakan, Tawau, Salina Lingutan, 41, berkata, dia kini hidup dalam kesusahan kerana tiada tempat lagi untuk bercucuk tanam dan mengusahakan tanaman kelapa sawit.

Katanya, dia juga pernah ditahan polis beberapa kali kerana didakwa menceroboh tanah sedangkan ia tanah adat dan milik nenek moyang mereka sendiri.

“Saya ditahan kerana menceroboh tanah dan mereka (pihak syarikat) mendakwa mempunyai geran hak milik tanah yang sah sedangkan ia tanah adat milik nenek moyang kami sejak berpuluh tahun.

“Saya tidak akan berganjak dari tanah ini dan akan mati di sini. Cuma saya mahu pihak berkuasa menyiasat kenapa tanah asal ini boleh bertukar milik,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk dari kampung sama, Jhonny Unkis, 57, berkata, dia berharap SPRM dapat bantu membantunya mendapatkan semula tanah adat milik nenek moyangnya itu.

Katanya, sudah ramai penduduk keluar dari kampungnya dan menetap bersama anak serta saudara di bandar kerana tidak tahan dengan gangguan dan ugutan.

“Mereka keluar dari kampung kerana tidak lagi dibenarkan untuk bercucuk tanam. Saya memilih untuk kekal di tanah itu dan tidak akan berpindah,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, penduduk yang terjejas itu bukanlah orang yang senang dan tekanan dihadapi ketika ini dilihat menambah derita mereka.

Katanya, penduduk cuba diusir dari kampung sedangkan itu tanah asal mereka dan tanah milik nenek moyang mereka sejak sekian lama.

“Tujuan kami hadir ke SPRM ini supaya isu ini disiasat dengan lebih telus sekali gus membantu mengembalikan semula tanah adat mereka.

“Penduduk-penduduk di tanah-tanah adat tersebut telah lama dibelenggu permasalahan ini apabila status pendudukan mereka di tanah tersebut telah dicabar dan hak mereka tidak dipertahankan,” katanya.

Katanya, wakil-wakil penduduk kampung sanggup untuk hadir ke semenanjung untuk menuntut dan memperjuangkan hak-hak mereka hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya