Tambahan renjer komuniti banteras ceroboh hutan, ancam hidupan liar - Utusan Malaysia

Tambahan renjer komuniti banteras ceroboh hutan, ancam hidupan liar

Hidupan liar
NIK Nazmi Nik Ahmad melawat tapak pameran pada Persidangan Keterhubungan Hutan dan Konservasi Biodiversiti dekat Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peningkatan ancaman kepada hidupan liar dan pencerobohan hutan antara faktor utama keperluan penambahan renjer komuniti di negara ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, seramai 1,500 renjer itu sudah dilantik bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sebahagian besar daripadanya melibatkan masyarakat Orang Asli selain veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Namun, jumlah renjer komuniti itu perlu ditambah lagi bagi menambah baik kawalan di kawasan hutan termasuk di Royal Belum, Perak.

“Ia berikutan tekanan atau ancaman terhadap hidupan liar dan hutan masih tinggi sekali gus perlu dibanteras secara menyeluruh,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keterhubungan Hutan dan Konservasi Biodiversiti, semalam.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang pada tahun ini.

Penambahan itu penting kerana kehadiran renjer berkenaan berjaya membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar.

Sebanyak RM60 juta disediakan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, kata Nik Nazmi, penyertaan baharu bagi renjer komuniti itu menerima sambutan positif setakat ini.

“Kebanyakkan renjer itu kini terdiri daripada masyarakat Orang Asli iaitu lebih 600 orang dan dijangka akan bertambah nanti. Selain itu, ia melibatkan veteran tentera dan polis yang mempunyai kepakaran serta pengalaman luas berada di hutan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memfokuskan isu peralihan tenaga pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-28 (COP28) di Dubai, hujung bulan ini.

“Malaysia sebagai negara yang bersedia bagi peralihan tenaga di rantau ini akan mempamerkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

“Selain itu, kita akan membincangkan isu berkaitan kerugian akibat bencana alam yang dialami negara-negara membangun dan mundur termasuk kepulauan kecil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya