BANGI: Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff enggan memperincikan perbualan sebenar rakaman video asal dengan seorang lelaki kerana menganggapnya sebagai privasi atau hal ‘dalam katil’ dan tidak perlu diberitahu kepada orang ramai.
Ini selepas bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, telah menafikan ketulenan video perbualan yang didakwa disunting sehingga memaparkan naratif lucah dan tidak bermoral.
Beliau mengesahkan individu dalam rakaman itu adalah dirinya, namun rakaman asal video itu tidak mempunyai audio berbanding yang tersebar di media sosial.
Katanya, tujuan perbualan hanya atas anggapan dirinya sebagai ‘bapa’ manakala Abdul Wahab sebagai ‘anaknya’.
“Ya Allahu akbar, takkan nak cakap benda dalam (atas) katil? (Rakaman) perbualan yang santai santai (sahaja). (Antara) seorang bapa dengan anak boleh cakap pelbagai (hal) seperti apa khabar? Keluarga bagaimana?,” katanya dalam sidang akhbar di Bandar Baru Bangi di sini, semalam.
Beliau bersidang bersama-sama Abdul Wahab dan dua peguam masing-masing mewakili mereka itu iaitu Zaflee Pakwanteh dari firma guaman Zaflee & Co dan Mohd. Faizal Abdul Rahman dari Tetuan Faizal Rahman & Co.
Mohammad Agus ditanya pemberita apakah bentuk perbualan asal dengan Abdul Wahab jika dikatakan rakaman video perbualan itu telah dialih suara selepas melalui proses suntingan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, adalah kebiasaan baginya melakukan panggilan video dengan sesiapa termasuk Abdul Wahab, bagi tujuan urusan kerja di mana-mana sahaja.
“Saya dengan pegawai pegawai lain itu pada saya jadi perkara sahaja untuk urusan kerja. Wahab ini anak kecil sahajalah. Anak sulung saya pun lebih tua daripada Wahab ini,” katanya.
Abdul Wahab sebelum itu memberitahu media bahawa beliau dia sudah melakukan perbualan melalui telefon dengan Mohammad Agus untuk beberapa kali, namun baru kali pertama merakam perbualan seperti itu.
Beliau juga menjelaskan baru sahaja bekerja di J-KOM selama dua minggu dan melaporkan diri pada 1 November lalu sebagai penolong pegawai.
Dalam pada itu, ditanya apakah status atau hubungan istimewa untuk Abdul Wahab sehingga mendapat layanan seperti itu (panggilan telefon) meskipun baru bekerja malah berbeza pangkat, Mohammad Agus bagaimanapun tersentap dengan soalan berkenaan.
“Apa yang anda mahu beritahu saya sebenarnya? Ini cuma pertama kali saya melakukan panggilan video dengan orang lain sama ada pengarah, kakitangan dan kawan-kawan. Nampak pelik soalannya (di sini).
“Wahab ini seorang yang naif, dia anak yang ada keperluan keluarga, saya tidak fikir ada yang pelik. Soalan (wartawan) pun masih berfikir pada persepsi yang negatif,” katanya.
Ketika ditanya jika benar beliau tidak menyebut perkataan-perkataan tidak senonoh dalam video tersebut, Mohammad Agus tidak menganggapnya sebagai kesalahan jika benar apa yang dikata.
“(Hakikatnya) tidak. Baiklah, kalau kita andaikan bercakap, jadi ada benda yang salah? Ada kesalahan jenayah melibatkan gangguan seksual? Saya tidak nampak pun suatu yang perlu diperbesarkan isu sebegitu. Saya ini kalau bercakap pada semua orang saya panggil ‘sayang’ ya, sungguh,” katanya.
Ketika ditanya jika Mohammad Agus tidak menyukai golongan lelaki dan menganggap Abdul Wahab sebagai anak, beliau juga enggan menjawab soalan tersebut.
“Kenapa tanya pasal orientasi seksual? Adakah soalan ini relevan untuk saya jawab? Tengok sekarang ini sudah berapa kes liwat, benda macam ini berlaku,” katanya.
Ditanya mengenai cara percakapan, bahasa badan dan pergerakan bibir yang selari dengan rakaman suara di dalam video tular itu, Mohammad Agus juga tidak memberi jawaban jelas.
“Oh itu saya tidak ingatlah, anda pergi kepada perincian yang spesifik,” katanya.
Semalam, individu yang dipanggil ‘Wahab’ muncul dalam sidang akhbar bersama Mohammad Agus, bagi menjelaskan rakaman video yang tular melibatkan perbualan lucah antara dua lelaki.
Katanya, rakaman video itu telah disunting dan dibingkaikan seolah-olah mereka sedang berbual mengenai perkara intim dan hubungan sejenis, sedangkan hakikatnya ia tidak seperti yang digambarkan selain berniat menjatuhkan maruahnya.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis petang semalam di Kajang dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu.
Abdul Wahab pula mendakwa dia diarah oleh pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘ Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Mohammad Agus.
Abdul Wahab bagaimanapun memberitahu, isi perbualan dalam video tular yang mengandungi unsur lucah itu bukan seperti yang tersebar dan tular dalam media sosial. Sebaliknya, katanya, video yang dirakamnya itu tidak mempunyai audio.
Katanya, pada November 2023, dia telah berjumpa Mr. H. di pejabatnya dan beberapa pertemuan diatur oleh individu berkenaan termasuk membawanya ke Pejabat Perdana Menteri dan hotel di ibu negara untuk berjumpa beberapa individu berpengaruh yang disebut Mr. H.
Jelasnya, beliau mendapat maklumat bahawa Mohammad Agus terlibat dalam aktiviti tidak bermoral selain dia telah ditugaskan untuk ‘membersihkan’ J-KOM dari dalam.
Dia juga telah menyerahkan kepada peguam berhubung senarai individu terlibat termasuk yang memegang jawatan tinggi di dalam J-KOM.
Baru-baru ini, media melaporkan satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Mohammad Agus dan tersebar di media sosial.
Video berdurasi 3 minit tiga saat itu dikongsi Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.
Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.
Menjengah ruangan caption pada video berkenaan, Che’gu Bard mempersoal jika lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan meletak jawatan.
Mohammad Agus kelmarin mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan dan diserah kepada Perdana Menteri semalam.
Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak.- UTUSAN