PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pemimpin dunia yang kononnya berbicara mengenai hak asasi dan demokrasi, namun tidak mampu menegaskan usaha gencatan senjata di Gaza.
Perdana Menteri, malah menyifatkan itu sebagai satu ‘kerja gila’ kerana hanya mampu menyatakan ‘humanitarian pause’ yang boleh difahami sebagai berhenti sekejap daripada serangan sementara bantuan disalurkan dan kemudiannya boleh menjatuhkan bom semula.
Beliau berkata, ini bermakna pemimpin terlibat tidak bersetuju melaksanakan genjatan senjata yang boleh diterjemahkan dalam bahasa diplomasi.
“Tengok pemimpin kononnya berbicara mengenai hak asasi dan demokrasi, mahu sebut ‘ceasefire’ pun tidak boleh. Dia juga kata ‘humanitarian pause’ di mana dalam bahasa diplomasi maknanya mereka tidak mahu gencatan senjata.
“Mereka tidak mahu genjatan senjata kerana dia mahu teruskan tindakan itu (kekejaman). Humanitarian pause maknanya, berhenti sekejap dan selepas ini bom kembali, ini kerja gila,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menggesa semua pihak khususnya parti-parti politik untuk bersatu bersama dalam isu Gaza serta mencari penyelesaian terbaik membantu rakyat Palestin.
“Saya tengok polemik parti dan golongan ekstrem melampau (isu Gaza), jadi sudahlah. Kita pakat bersama kerana orang dibunuh, anak kecil mati. Fikirlah bersama bagaimana mahu bantu (Palestin).
“(Contohnya saya) hubungi syarikat besar lain, cari jalan tambah peruntukan yang melebihi RM100 juta yang kita kirimkan. Pastikan juga kiriman itu menerusi badan dipercayai dan janganlah kita bina mahligai atas pusara orang lain.
“Maknanya patut ada kesedihan dan doa, dan bukannya mendirikan mahligai atas pusara orang lain seperti mencari markah politik, itu menyedihkan,” tegasnya. – UTUSAN