PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, penahanan buku yang disyaki mengandungi unsur komunisme baru-baru ini adalah mengikut proses penguatkuasaan yang betul dan dibenarkan undang-undang.
Menurut beliau, Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak atas aduan orang awam tanpa menggunakan cara penguatkuasaan melampaui batas.
Jelasnya, buku tersebut sedang dalam penelitian isi kandungannya sama ada wujud unsur komunisme seperti didakwa sebelum dipulangkan semula jika tidak mengandungi sebarang kesalahan.
“Apabila ada aduan daripada orang awam sudah tentu Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan KDN akan menggunakan klausa daripada akta berkenaan untuk melawat premis yang diadu dan mengambil beberapa buku terlibat.
“Jadi prosesnya adalah bahagian ini ada panel yang akan meneliti, jadi pada akhir penelitian itu kalau ada isi kandungan tidak memaparkan elemen dimaksudkan, mereka akan pulangkan. Itu proses biasa seperti mana yang dibenarkan,” katanya ketika ditemui di luar Kongres Nasional PKR 2023 di sini, hari ini.
KDN sebelum ini menahan lapan naskhah buku yang disyaki mengandungi unsur komunisme bagi menjalankan kajian lanjut kerana disyaki mengandungi elemen-elemen hasil penerbitan tidak diiingini berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP).
Pihaknya melalui Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan menerima maklumat berkaitan penjualan buku itu dan melakukan pemeriksaan di Gerak Budaya Enterprise, Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, beliau menerima pelbagai pandangan dan kritikan berhubung tindakan penguatkuasaan itu.
Namun, katanya, kerajaan harus dilihat peka dan sensitif terhadap aduan awam dengan mencari jalan seimbang.
“Apa yang tidak boleh apabila kita benarkan penguatkuasaan melampaui batas, kita laksanakan apa yang diperuntukkan undang-undang,” katanya. – UTUSAN