Syed Saddiq kosongkan jawatan Presiden Muda - Utusan Malaysia

Syed Saddiq kosongkan jawatan Presiden Muda

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Abdul Rahman mengosongkan jawatan sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Muda petang ini.

“Apabila Muda diasaskan, ia ingin membawa politik baru, politik yang melangkaui kepartian dan personaliti semata-mata serta politik yang mengangkat politik bermaruah dan berintegriti.

“Oleh itu, jawatan Presiden Muda atau institusi Presiden perlu lebih putih daripada putih. Ini kerana beban jawatan itu agak luar biasa dan tidak ada sesiapa pun daripada diri saya lebih besar daripada parti yang diasaskan oleh kami semua dan rakyat Malaysia.

“Fakta yang berlaku hari ini, saya tidak tergolong dalam kumpulan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd. Aziz akan memangku jawatan Presiden sementara beliau membersihkan nama melalui proses mahkamah.

“Sebaik sahaja mesyuarat tadi berakhir, saya tidak akan melibatkan diri dan tidak akan dilibatkan lagi dalam mana-mana keputusan Parti Muda dan berkait rapat dengan masa depan parti.

“Namun, saya tetap akan mendukung parti ini sebagai ahli dan akan terus bekerjasama dengan ahli lain untuk merealisasi impian membina Malaysia maju, bermaruah dan berintegriti.

“Tanggungjawab saya tetap perlu dilaksanakan bukan sahaja dalam Parlimen tapi kebajikan di kawasan saya, cuma dari sudut dasar parti, pendirian parti itu memainkan peranan besar dalam hal ini saya tidak boleh melibatkan diri lagi selain sebagai ahli Muda,” katanya.

Jelas Syed Saddiq, walaupun sepatutnya tiada isu untuk beliau terus memangku jawatan Presiden selepas berjaya memohon penangguhan pelaksanaan dan sabitan, namun ia berkait rapat dengan soal prinsip.

“Saya rasa penting untuk akui Muda ini lebih besar daripada seseorang dan pada masa sama i need to walk the talk. Ini soal prinsip.

“Apabila saya sertai politik, saya nak bersihkan politik di tanah air tercinta, tetapi apabila sudah ada kes di mahkamah tinggi walaupun ada dua lagi peringkat rayuan, saya perlu meletakkan threshold pada diri saya sama seperti saya mengharapkan threshold tersebut untuk ditingkatkan bagi politik tanah air kita.

“Saya tetap merupakan ahli Muda (cuma) mengosongkan jawatan presiden sambil membersihkan nama di mahkamah, tetapi tetap mendukung semangat Parti Muda sebagai ahli dan Ahli Parlimen.

“Tanggungjawab saya tetap perlu dilaksanakan bukan sahaja dalam Parlimen, tetapi kebajikan di kawasan saya. Cuma dari sudut dasar parti, pendirian parti itu memainkan peranan besar dalam hal ini saya tidak boleh melibatkan diri lagi selain sebagai ahli Parti Muda,” katanya.

Sementara itu Amira Aisya berkata, perjuangan memperkukuhkan semua institusi penting negara, perjuangkan dasar yang dekat hati rakyat dan membersihkan politik akan tetap diteruskan walaupun Syed Saddiq mengosongkan jawatan sebagai Presiden.

Katanya, ini kerana beliau masih lagi merupakann ahli parlimen mewakili Muda dan akan membawa perjuangan tersebut dalam sidang Dewan Rakyat.

“Muda menghormati keputusan mahkamah dan pada masa sama keputusan mahkamah ini masih ada lagi jalannya dihadapan. Ini bukan penghabisan, beliau masih ada ruang untuk membuat rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Saya ingin nyatakan di sini teruatama kepada akar umbi bahawa keputusan hari ini bukan satu keputusan melemahkan Muda, tetapi keputusan hari ini satu isyarat jelas bahawa perjuangan Muda masih perlu diteruskan, malah perlu diteruskan lebih daripada satu orang (bukan Syed Saddiq semata-mata),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya