Syarikat asing kaut untung jual barangan elektronik tanpa bayaran cukai

Syarikat asing kaut untung jual barangan elektronik tanpa bayaran cukai

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kaut keuntungan puluhan juta ringgit dengan menjual barangan elektronik tanpa bayaran cukai serta tiada kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM).

Itu kegiatan dilakukan sebuah syarikat milik warga asing yang bertapak yang di Malaysia sehingga peniaga tempatan terpaksa gulung tikar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perniagaan yang dijalankan peniaga tempatan tidak dapat bersaing dengan syarikat berkenaan memandangkan harga yang ditawarkan mereka lebih murah.

Walhal, dakwa Hishamuddin, barangan yang elektronik yang dijual tidak mempunyai perakuan daripada sirim dan didakwa tidak mengikut prosedur perniagaan sepatutnya.

“Maklumat awal kita dapati, syarikat itu aktif melakukan urus niaga di negara ini dengan mengaut keuntungan tinggi sejak beberapa tahun lalu.

“Syarikat ini didapati menjual barangan elektronik dengan harga murah iaitu di bawah harga pasaran sekali gus memberi kesan kepada peniaga tempatan yang membawa masuk barangan berkenaan mengikut prosedur betul termasuk membayar cukai sehingga 30 peratus daripada nilai barang,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut,dakwa beliau, urus niaga itu telah dijalankan menggunakan saluran aplikasi e-dagang dengan syarikat terbabit menjadi hub di Malaysia bagi menerima pesanan barang dari luar negara.

Kata beliau, semakan dilakukan pihaknya mendapati syarikat itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggunakan nama individu dari China sejak 2020.

“Namun, apa yang peliknya adalah tiada keuntungan direkodkan oleh syarikat itu berdasarkan semakan dilakukan.

“Mana mungkin syarikat yang sudah mencatatkan jualan ribuan barangan elektronik tidak menjana sebarang keuntungan,” jelasnya.

Hishamuddin berkata, pihaknya sudah membuat surat kepada beberapa pihak berkaitan untuk mengadakan pertemuan sejak beberapa bulan lalu, namun masih belum mendapat maklum balas.

“Hanya pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah mengadakan pertemuan dengan mereka berhubung isu itu dan memaklumkan akan menjalankan siasatan.

“Dua lagi agensi iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) masih belum memberikan sebarang maklum balas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berharap masalah ini dapat diselesaikan oleh pihak berkaitan bagi memastikan kemelut dihadapi peniaga tempatan sejak beberapa tahun lalu ini tidak berlarutan.

Katanya, sekiranya masalah ini tidak diselesaikan, ia bukan sahaja menyebabkan ramai peniaga tempatan gulung tikar malah, kerajaan juga terpaksa menanggung kerugian akibat ketirasan bayaran cukai oleh syarikat berkenaan.

Sementara itu, seorang peniaga barang elektronik dalam talian yang hanya mahu dikenali sebagai Reza, 30-an, berkata, monopoli pasaran barangan elektronik oleh syarikat asing berkenaan menjejaskan pendapatan peniaga tempatan.

Kata beliau, syarikat ini dengan mudah mendapat keuntungan walaupun menawarkan barang pada harga kos kerana tidak perlu membayar cukai dan kos lain.

“Bagaimana kita mahu bersaing dengan syarikat itu apabila mereka menjual barang di bawah harga pasaran sedangkan kami perlu membayar cukai dan kos lain?” soalnya.

Beliau berharap ada tindakan yang diambil oleh kerajaan khususnya bagi membela nasib peniaga tempatan sepertinya supaya dapat meneruskan perniagaan mereka.

“Sudah banyak saluran saya dan rakan pergi untuk mengutarakan masalah ini, namun sehingga kini masih belum ada solusi.

“Saya harap kerajaan dapat membantu mengambil langkah yang dapat memberi nafas kepada kami untuk meneruskan perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya