Syarat lesen bola macam Gunung Everest - Sanusi

Syarat lesen bola macam Gunung Everest – Sanusi

Muhammad Sanusi Md Noor menandatangani plak perasmian Wisma KFA di Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menyifatkan syarat yang dikenakan untuk mendapatkan lesen kebangsaan beraksi pada musim 2024/2025 terlalu tinggi berbanding kemampuan sebenar pasukan yang bertanding.

Presiden KLFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, syarat tersebut ibarat ketinggian Gunung Everest sedangkan kemampuan kebanyakan pasukan bola sepak di negara ini hanyalah setinggi Gunung Jerai. 

Justeru katanya, banyak pasukan terpaksa berhempas-pulas bagi memenuhi syarat tersebut lebih-lebih lagi ketika dalam era penswastaan kini. 

“Saya dah cakap banyak kali sejak beberapa tahun lalu, standard kita belum sampai ke tahap itu lagi. Setiap kehendak dan syarat yang diletakkan untuk mendapatkan lesen bagi melayakkan pasukan bertanding dalam musim berikutnya, terlalu tinggi. 

“Saya rasa banyak pasukan berdepan masalah. Bukan satu atau dua pasukan sebaliknya tujuh hingga lapan pasukan berhempas-pulas untuk memenuhi syarat itu. 

“Segalanya bergantung kepada faktor kewangan. Industri bola sepak kita belum mencapai tahap itu lagi kerana keupayaannya hanya setakat Gunung Jerai tetapi syarat diletakkan setinggi Everest,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Wisma KFA di sini, hari ini. 

Kelmarin First Instance Body (FIB) mengumumkan sebanyak 10 kelab berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan manakala tiga lagi diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman yang menyaksikan mereka layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024-2025. 

Keputusan lesen bagi Kelantan FC bagaimanapun ditangguhkan hingga Disember ini. Tindakan itu dibuat kerana mereka didapati memiliki tunggakan gaji dalam deklarasi 31 Ogos, walaupun rekod tunggakan gaji pemain dan pegawai pada 30 Jun tidak menunjukkan sebarang tunggakan. 

Muhammad Sanusi bagaimanapun mengakui, bukan tidak ada pasukan yang mampu memenuhi syarat setinggi Everest seperti ditetapkan itu. 

Tambahnya, mana-mana pihak yang membuat tajaan dalam industri bola sepak di Malaysia ketika ini dilihat sukar mendapat pulangan daripadanya. 

“Penaja kalau nak cari pulangan dalam bola sepak, memang tak ada kerana Malaysia belum sampai ke tahap itu. Kalau mereka beri sebulan RM1 juta bersamaan RM12 juta setahun, ibarat beri sajalah sebagai sumbangan dan mereka takkan dapat balik pulangan. 

“Jualan cenderamata dan tiket, semuanya tak mampu menampung kos untuk pasukan dan itulah industri bola sepak kita. Saya tak tahulah siapa yang ghairah sangat nak ke tahap itu tetapi rasanya kita sekarang ini cuba meletakkan tanggungjawab mendaki Everest kepada pendaki Gunung Jerai,” katanya.  

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, hingga kini semua pasukan bola sepak di Malaysia masih diberi sokongan oleh negeri. 

“Kita juga  masih membantu Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Dari kerajaan negeri pergi ke KFA dan KFA pula pergi ke KDA FC. 

“Jumlahnya tak bolehlah saya nyatakan tetapi ia hanya suntikan, bukan biayai semua. KFA yang tolong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya