KUALA LUMPUR : Usahawan muda, Irenee Deanna, 25, mengakui terkejut apabila namanya dipetik golongan netizen dan didakwa mempunyai hubungan dengan pengarah terkemuka tanah air, Syamsul yusof.
Menurut Irenee, dia tidak tahu-menahu bagaimana isu tersebut boleh timbul namun mengakui mengenali Syamsul sebagai rakan keluarga.
“Saya tak ada apa-apa pun nak komen, bagi pihak saya, apa yang boleh dikatakan memang tak ada apa-apa.
“Saya sendiri pun terkejut apabila cerita itu timbul. Kalau tanya pasal gambar yang tular, ia sekadar gambar sahaja. Sebab masa dia (Syamsul) datang itu, atas urusan kerjasama dengan Utama Motors.
“Tangkap gambar macam biasa sahaja, sebagai rakan kenalan keluarga. Tetapi tak sangka pula jadi benda lain,”katanya.
Irenee berkata demikian semasa ditemui pada Sidang Media konsert Stars On Fire di Hotel Le Meredien, di sini, petang tadi.
Irenee berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan dia dan Syamsul menjalinkan hubungan istimewa selepas tular gambar mereka berdua sedang makan malam bersama.
Selain itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai teman lelaki atau tidak, Irenee turut enggan mengulas lanjut.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perhatian netizen yang kini tertumpu padanya selain peningkatan jumlah pengikut di Instagram, Irenee menganggap ia sebagai satu perkara yang positif.
“Saya anggap ia satu benda yang baik. Saya ada juga baca komen netizen sebab orang hantar pada saya. Dalam hati, tergelak juga saya.
“Tapi bila tengok jumlah pengikut naik, saya anggap positif saja. Alhamdulillah. Perkara ini tak menganggu pun. Saya pun buat kerja macam biasa saja. Saya okey,”katanya.
Terdahulu, Irena didakwa menjalin hubungan dengan pengarah, Syamsul Yusof selepas tersebar untaian foto Syamsul menghadiri makan malam yang turut disertai keluarga wanita itu.
Turut kelihatan, sekeping gambar pengarah sensasi itu berdua dengan Irene dalam satu hantaran dalam Instagram.