Suspek dipercayai ibu bapa empat beradik direman sehingga Jumaat - Utusan Malaysia

Suspek dipercayai ibu bapa empat beradik direman sehingga Jumaat

EMPAT beradik yang ditinggalkan tanpa penjagaan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Kampung Gajah minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Dua suspek dipercayai ibu dan bapa kepada empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Kampung Gajah minggu lalu, ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Perintah tahanan reman ke atas kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu dikemukakan pihak polis di Mahkamah Majistret Parit.

Difahamkan, tempoh tahanan reman terhadap suspek lelaki selama empat hari itu bermula semalam manakala wanita itu pula ditahan reman tiga hari bermula hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, lelaki dan wanita itu ditahan dalam tangkapan berasingan pada kelmarin dan semalam.

Katanya, tangkapan terhadap kedua-dua suspek itu membawa kepada rampasan barang kes berupa motosikal Modenas Kriss, pakaian yang dipakai semasa hari kejadian dan telefon bimbit.

“Siasatan mendapati, kanak-kanak itu dibawa dan ditinggalkan di lokasi tersebut pada hari kejadian oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna biru.

“Ekoran itu, satu tangkapan dibuat ke atas lelaki terbabit kelmarin, selain merampas motosikal yang digunakan serta pakaian yang dipakainya semasa hari kejadian,” katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 33(a) Akta Kanak-kanak 2001 bagi mengenal pasti motif suspek meninggalkan kanak-kanak berkenaan.

Media pada Jumaat lalu melaporkan, empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah selepas mendakwa dihalau dari kediaman nenek di Bota.

Kejadian sekitar pukul 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing tiga tahun dan 10 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya