Suri rumah menyamar pegawai LHDN guna dokumen palsu

Suri rumah menyamar pegawai LHDN guna dokumen palsu

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan iaitu menyamar sebagai pekerja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menggunakan dokumen palsu untuk membuat pinjaman khas bank berjumlah RM150,000. 

Nurul Shahira Roslan, 39, didakwa membuat representasi yang salah kepada Bank Islam dengan menyamar sebagai pekerja LHDN dan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan membuat permohonan pinjaman khas ditawarkan kepada kakitangan agensi itu.  

Pinjaman berjumlah RM150,000 diluluskan dan dimasukkan ke akaun Bank Islam atas nama Nurul Shahira walhal tertuduh bukan kakitangan LHDN. 

Nurul Shahira juga didakwa menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu salinan pas keselamatan LHDN, penyata gaji LHDN, penyata bank, penyata EC dan surat pengesahan majikan LHDN dalam permohonan pinjaman khas yang ditawarkan kepada pekerja LHDN sehingga diluluskan Bank Islam berjumlah RM150,000.

Pinjaman itu dimasukkan ke akaun Bank Islam atas nama tertuduh yang mana diketahui dirinya bukan pekerja LHDN dan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan didakwa dilakukan di ibu pejabat Bank Islam, cawangan Sri Petaling di sini di antara pukul 8 pagi dan 5 petang di antara 1 dan 14 Mac 2019. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 471, wanita itu boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman mencadangkan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh.

“Syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Syamil Haidhar Abdul Jalil Alwi yang mewakili Nurul Shahira memohon jaminan RM8,000 kepada anak guam atas alasan perlu menjaga ibu bapa yang memerlukan rawatan.

“Tertuduh juga mengalami gangguan emosi kerana mengalami keguguran anak kali ketujuh dan tiada risiko melarikan diri,” katanya.

Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan selain menetapkan sebutan kes pada 21 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN