SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan dana bantuan kemanusiaan bagi umat Islam di Palestin berjumlah RM4.4 juta kepada Tabung Musa’adah Palestin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.
Dalam istiadat ringkas yang diadakan di Istana Bukit Kayangan, di sini, baginda bertitah, dana tersebut diperolehi menerusi sumbangan umat Islam di masjid dan surau seluruh negeri.
“Beta mendoakan agar Allah SWT memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan oleh rakyat Negeri Selangor untuk membantu umat Islam di Palestin.
“Beta telah menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan rakyat Selangor dapat dibuat dan diselaraskan melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) bermula 13 Oktober 2023 lalu. Ini bagi menentukan agar pengelolaan dana dapat dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar,” titah baginda, hari ini.
Terdahulu baginda berkenan menyaksikan penyerahan cek cura oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad kepada Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menjelaskan penyelarasan oleh TIJARI turut memberi jaminan setiap infak umat Islam di negeri ini dapat disampaikan terus kepada rakyat Palestin tanpa sebarang ketirisan dan mengelak berlaku penyaluran dana kepada pihak yang tidak berwibawa.
“Beta berdoa semoga Allah SWT yang Maha Berkuasa dapat melindungi kemuliaan Masjid Al-Aqsa agar umat Islam dapat mendirikan solat dan membuat amal ibadat secara aman.
“Beta juga berdoa semoga Allah SWT memberi kemenangan kepada pejuang rakyat Palestin untuk menghapuskan kezaliman Zionis Israel dan hak-hak mereka dikembalikan serta dapat mewujudkan sebuah negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat,” ujar baginda. – UTUSAN