Sultan Nazrin mesra, prihatin masalah rakyat

Sultan Nazrin mesra, prihatin masalah rakyat

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat pameran pelajar selepas Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City Tanjung Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sutan Nazrin Muizzuddin Shah bukan sahaja dikenali sebagai raja ilmuan, tetapi sultan yang mesra rakyat, sangat prihatin serta lantang melontarkan pandangan terhadap isu-isu yang dekat dengan rakyat.

Keprihatinan terhadap rakyat jelas menerusi titah-titah baginda yang banyak menjurus kepada pentingnya kerajaan menyelami kesusahan mereka termasuk ketika negara dibadai krisis kesihatan.

Isu pengangguran, kos sara hidup yang tinggi, jaminan bekalan dan keselamatan makanan antara perkara sering dititahkan baginda supaya diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Malah, baginda turut berkongsi idea mengenai langkah-langkah strategik bersama kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang menyakinkan bagi menambah peluang pekerjaan dan menangani kos sara hidup rakyat.

Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu dan situasi negara sedang menghadapi bebanan hutang yang tinggi, Sultan Nazrin mahu agar perbelanjaan negeri memberikan fokus kepada perkara-perkara yang menghasilkan manfaat langsung kepada rakyat di samping melaksanakan secara bersungguh langkah-langkah berjimat cermat dan menghentikan perbelanjaan berunsur pembaziran.

Dalam pada itu, memelihara hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini juga antara perkara mendapat perhatian baginda dengan menolak pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama, berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga.

Baginda mahu tindakan diambil bagi menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum.

Sementara itu, kemesraan baginda menyebabkan keberangkatan baginda pada majlis-majlis umum sentiasa dinanti-nanti rakyat seperti pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di pekarangan Stadium Perak di sini, baru-baru ini.

Keberangkatan baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta dua anakanda baginda, Raja Kechil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya mencuri tumpuan lebih 25,00 rakyat yang hadir pada sambutan tersebut.

Baginda juga sangat mesra dengan pengamal media dan ini dapat dilihat apabila lebih 300 pengamal media daripada pelbagai agensi diraikan pada majlis santapan istimewa bersama baginda di Istana Iskandariah di Bukit Chandan di Kuala Kangsar sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) tahun ini.

Memastikan syiar Islam terus berkembang menjadi keutamaan baginda antaranya baginda mahu usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunah Wal Jamaah untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin.

Bertitah pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini baru-baru ini, baginda menekankan pentingnya untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Baginda turut memperkenan penubuhan Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak (MPM), sebuah majlis syura dan entiti baharu yang diharapkan mampu melakukan perubahan minda, budaya serta menghasilkan ramuan serta kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid.

Baginda mahu Ahli-ahli MPM berfikiran besar dan membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik lagi bermakna serta dikeluarkan dari kotak sempit.

Sultan Nazrin mahu MPM berperanan untuk memerdekakan peranan masjid dari kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu, dengan tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit.

Sesungguhnya institusi diraja Perak akan kekal sebagai payung kedaulatan negeri yang memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Baginda berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan sekaligus menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya