Sultan Nazrin kurnia darjah kebesaran, pingat kepada 209 penerima - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin kurnia darjah kebesaran, pingat kepada 209 penerima

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah mengurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini kepada Mohd. Arshil Moideen pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigadier Jeneral Dr. Mohd. Arshil Moideen mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat dalam istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau mendahului senarai 209 penerima hari kedua istiadat pada hari ini, selepas hari pertama diadakan pada 5 November lalu.

Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada Mohd. Arshil dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini.

Darjah itu dikurniakan kepada rakyat Seri Sultan Perak yang memperlihatkan keistimewaan dan kecemerlangan mengharumkan nama negeri dan negara serta individu yang menabur jaksa bakti dan memberi khidmat cemerlang kepada negeri Perak.

Turut menerima darjah sama ialah, pakar perubatan kesihatan awam, Dr. Norsihimah Wahid dan Pengerusi MRANTI Corporation Sdn. Bhd., Dr Rofina Yasmin Othman serta Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.

Mengiringi keberangkatan Sultan Nazrin ke istiadat itu ialah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Pada istiadat itu, Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) dan Pingat Pekerti Terpilih (PPT).

Ini diikuti pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) yang turut diberikan kepada atlet terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh dan atlet muaythai negara, Mohammad Rifdean Masdor.

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pelari wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang tersenarai sebagai penerima pingat sama bagaimanapun tidak dapat hadir kerana perlu meneruskan program latihan dan urusan pengajian di luar negara.

Dalam istiadat yang diadakan pada 5 November lalu, Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat Negeri Perak.

Turut menerima darjah dan pingat ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye.

Pada hari itu juga, kartunis tersohor, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat menerima Anugerah Seniman Diraja daripada Sultan Nazrin.

Sempena ulang tahun hari keputeraan baginda tahun ini, Sultan Nazrin telah memberi perkenan pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada seramai 238 penerima.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya