Sultan Kedah ingatkan graduan tentang integriti  - Utusan Malaysia

Sultan Kedah ingatkan graduan tentang integriti 

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, Sintok di Kubang Pasu, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan para graduan tentang kepentingan tadbir urus yang cekap dan berintegriti dalam semua aspek kehidupan setelah menempuh alam pekerjaan.

Titah baginda yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), integriti dan tadbir urus yang baik serta cekap merupakan asas kepada kecemerlangan sebuah organisasi.

“Ini adalah kerana di hadapan beta hari ini, adalah para graduan kelas pertama, best of the best (terbaik dari yang terbaik), lulusan daripada UUM yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pendedahan dan pengalaman dalam urusan kepimpinan dan pengurusan sesebuah organisasi.

“Dalam pengamatan beta, jatuh bangun sesebuah institusi, syarikat, organisasi, pemimpin, atau seseorang individu, adalah bergantung kepada integriti yang dimiliki olehnya,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Sintok dekat sini hari ini.

Seramai 5,738 graduan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi pada majlis konvokesyen tersebut yang bermula hari ini sehingga 23 November di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Titah Sultan Sallehuddin, graduan UUM juga disaran untuk membantu sesebuah organisasi dan majikan mereka dengan mewujudkan Dokumen Pelan Antirasuah Organisasi.

“Dokumen ini yang merangkumi pelbagai usaha organisasi, untuk mengatasi masalah rasuah yang berlaku. Ia merangkumi dasar, prosedur, latihan dan inisiatif yang digunakan, untuk mengurangkan risiko rasuah, meningkatkan kesedaran etika di kalangan kakitangan dan mempromosikan integriti.

“Pelan ini adalah satu pendekatan yang holistik untuk dilaksanakan, bagi memastikan bahawa sesebuah organisasi dapat memerangi rasuah, dalam semua aspek operasinya,” katanya.

Selain itu titah Sultan Kedah, graduan UUM turut disaran memanfaatkan keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI) agar dapat membantu meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam sesebuah organisasi.

“AI boleh digunakan untuk menganalisis data masa nyata (RTD) dan dapat mengesan aktiviti yang mencurigakan. Ini membantu organisasi tersebut mengenal pasti isu integriti dan rasuah dengan lebih cepat dan efisien,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya