KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan bahawa perbincangan bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) sedang giat dilakukan berhubung pembiayaan peruntukan Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk menyokong Sarawak dengan cara yang terbaik.
“Kita memang giat melakukan perbincangan dengan MYSED bagi persiapan acara Sukma tahun depan,” katanya kepada media selepas hadir merasmikan program Sukan Perpaduan KBS-MYSED di Megalanes, Batu Kawa di sini semalam.
Dalam pada itu, Menteri MYSED, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM124 juta untuk membaik pulih fasiliti sukan dan persiapan bagi acara Sukma di Sarawak kini giat dijalankan dan berjalan lancar.
“Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM80 juta sebagai inisiatif persiapan para atlet kelahiran negeri ini.
“Untuk persiapan atlet Sarawak dalam Sukma pada tahun ini, lebih kurang RM80 juta persiapan dan daripada itu ramai atlet kita sedang berada di luar negara,” tambah Abdul Karim.
Sukma 2024 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos tahun depan dan akan merentasi sembilan bahagian di negeri ini termasuk Kuching, Serian, Sri Aman, Samarahan, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Sebelum ini, Abdul Karim berkata, penganjuran Sukma dijangka menelan belanja lebih RM100 juta.
Justeru, Hannah berkata, kementeriannya sedia menyalurkan bantuan kepada kerajaan Sarawak bagi memastikan kejayaan Sukma ke-21 yang akan berlangsung di negeri ini tahun depan.-UTUSAN