Suhaili nafi terima ugutan, habuan sokong PM

Suhaili nafi terima ugutan, habuan sokong PM

SUHAILI ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan ugutan dan habuan.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakannya memberikan sokongan kepada Perdana Menteri adalah demi memastikan kelangsungan rakyat di Parlimen Labuan.

“Saya Ahli Parlimen Labuan ingin menafikan sekeras-kerasnya berkaitan dakwaan Ketua Armada Bersatu Malaysia di satu sidang akhbar yang dibuat di Dewan Rakyat hari ini (semalam).

“Antara lain beliau menyebut bahawa empat Ahli Parlimen Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri telah didatangi oleh seseorang yang diberikan gelaran ‘Datuk Botak’, kononnya memberikan tekanan seperti mengugut, menjanjikan projek dan memberi habuan wang tunai.

“Semua itu adalah tidak benar terutamanya kepada diri saya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Pada masa sama, Suhaili sekali lagi mengulangi bahawa sokongannya kepada Perdana Menteri adalah ikhlas tanpa sebarang paksaan atau tekanan.

“Memandangkan kepimpinan parti telah menjatuhkan hukuman digantung keahlian selama enam tahun kepada saya disebabkan melanggar disiplin parti, maka saya minta supaya Ketua Armada Bersatu Malaysia berhenti membuat publisiti murahan melalui isu sama berulang kali hanya untuk mencari populariti,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa konon terdapat dua individu yang membuat gerakan terancang untuk menarik beberapa Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong kepemimpinan Anwar.

Pemimpin Bersatu itu menamakan Farhash dan seorang individu lain yang digelar ‘datuk botak’ sebagai bertanggungjawab menarik Ahli Parlimen pembangkang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Jelas bahawa terdapat langkah terancang oleh Perdana Menteri dan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menyogok dan memberi suapan melalui janji-janji bantuan kewangan kepada ahli Parlimen Bersatu bagi kawasan mereka dan juga untuk mereka secara peribadi,” katanya.

Empat ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar sebelum ini adalah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya