Subsidi tamat: Harga ayam turun di Perlis - Utusan Malaysia

Subsidi tamat: Harga ayam turun di Perlis

NORAZAH Jaapar (dua dari kiri) memantau harga ayam di Pasar Besar Sena, Kangar, Perlis selepas penamatan subsidi oleh kerajaan bermula hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Harga jualan runcit ayam di sekitar Perlis menunjukkan sedikit penurunan menerusi penamatan subsidi bahan mentah itu yang bermula pada hari ini.

Berdasarkan pemeriksaan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini, harga siling ayam termasuk kos pemotongan adalah sekitar RM9.40 per kilogram.

Bagaimanapun selepas penamatan subsidi berkenaan, harga ayam di sekitar negeri ini didapati turun dan dipasarkan sekitar RM8.50 sehingga RM10 malah bekalannya juga berada dalam keadaan stabil.

Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar berkata, harga ayam pada masa kini bergantung kepada bekalan dan permintaan pengguna setelah bahan mentah itu diapungkan oleh kerajaan.

“Sekiranya harga ayam naik terlalu tinggi pada masa kini dan jika kuasa membeli pengguna itu berubah, mungkin ia boleh menjamin penurunan harga bahan mentah itu.

“Dan itulah antara kelebihan apabila harga ayam ini diapungkan di mana kuasa ada di tangan pengguna,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Sena, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norazah berkata, KPDN negeri turut mengeluarkan surat pemberitahuan pematuhan kepada peniaga agar dapat mematuhi perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, langkah ini adalah sebagai salah satu cara bagi memastikan ayam dijual dengan harga yang munasabah dalam pasaran tempatan dan memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak memanipulasi harga dengan sewenang-wenangnya.

“KPDN Perlis juga akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan melalui perundangan di bawah AKHAP 2011,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ayam, Jasrizal Su, 45, berkata, harga ayam yang dipasarkan pada masa kini adalah bergantung kepada pembekal selepas bahan mentah itu diapungkan oleh kerajaan.

Katanya, sekiranya pembekal menaikan harga ayam selepas ini, peniaga juga akan turut terkesan dan perlu memasarkan mengikut kesesuaian harga.

“Buat masa ini harga yang dipasarkan adalah normal namun kita tidak tahu dua tiga minggu selepas ini jika pembekal menaikkan harga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya