Suami meninggal pada hari jadi anak sulung

Suami meninggal pada hari jadi anak sulung

NATASHA AIDURA Mohd. Ezrin Shah Singh (kiri) bersama Nur Ariana Raisha Mohammad Hafiz menunjukkan gambar keluarga ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Duyong Permai, Duyong, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasrat seorang anak untuk menerima ucapan lahir daripada bapanya tidak kesampaian, selepas lelaki itu maut dalam kemalangan ketika ke tempat kerja berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini, bulan lalu.

Isterinya, Natasha Aidura Mohd. Ezrin Shah Singh, 33, berkata, arwah suami, Mohammad Hafiz Jamal, 38, pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya pada hari ulang tahun ke-10 anak sulungnya.

Katanya, seminggu sebelum kejadian suaminya menunjukkan perubahan sikap daripada seorang yang ceria kepada pendiam dan tidak banyak berkomunikasi dengan dirinya termasuk anak-anak.

“Kebetulan tarikh kejadian sama dengan hari lahir anak sulung kami. Dia beritahu ayah tidak memberi ucapan serta pesanan seperti kebiasaan sebelum ke sekolah.

“Anak sulung kini lebih memendam rasa dan ada ketika dia akan menangis seorang diri. Saya hanya perasan dia menangis apabila dimaklumkan anak-anak yang lain.

“Anak-anak yang lain turut merindui ayah mereka dan sering bertanya bila ayah hendak balik terutama anak keempat, Nur Ariana Raisha Mohammad Hafiz, 4. Dia sangat rapat sehingga tidur pun bersama ayahnya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Duyong Permai di sini, hari ini.

Natasha Aidura menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ibu tunggal itu menerima bantuan JKM sebanyak RM850 sebulan selama setahun dan bayaran Perkeso sebanyak RM3,480 sebulan sepanjang hayat serta bantuan makanan dan persekolahan daripada MAIM.

Mohammad Hafiz yang bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah kelab rekreasi sukan di Klang, Selangor meninggalkan lima cahaya mata berusia dua bulan hingga 10 tahun.

Tambah Natasha Aidura, dia berharap prosedur tuntutan insurans bagi urusan pembelian rumah pertama oleh arwah suaminya berjalan lancar.

Menurutnya, Mohammad Hafiz sangat teruja apabila berjaya membeli sebuah rumah di Bukit Katil yang dijangka siap pada 2025.

“Itulah satu-satunya aset yang arwah sediakan untuk saya dan anak-anak berteduh pada masa hadapan. Dia sangat gembira apabila dapat membeli rumah itu dan saya berharap urusan untuk memiliki kediaman sendiri dipermudahkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya