Suami isteri 35 hingga 39 tahun paling ramai hadapi masalah

Suami isteri 35 hingga 39 tahun paling ramai hadapi masalah perkahwinan

TENGKU Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama Rohani Abdul Karim (dua dari kiri) pada perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Kota Bharu, hari ini.- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pasangan suami isteri berusia 35 hingga 39 tahun dikesan paling ramai menghadapi masalah perkahwinan sehingga menyebabkan perceraian.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, berdasarkan kajian dan laporan yang diterima, lebih 56.2 peratus perceraian dalam kalangan golongan lelaki berpunca daripada tiada persefahaman, isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mertua atau ipar duai (10 peratus).

Menurutnya, di pihak wanita pula, ia berpunca daripada tiada persefahaman (38 peratus), pasangan curang (20.5 peratus), pasangan tidak bertanggungjawab (15.2 peratus), campur tangan ipar duai (6 peratus), masalah kewangan (4.7 peratus) serta enggan dimadukan (2.8 peratus).

“Konflik ini dihadapi oleh pasangan itu selepas tempoh perkahwinan antara lima hingga 10 tahun.

“Namun, mereka akan diberikan sesi kaunseling terlebih dahulu dengan dibantu seramai 18 kaunselor di seluruh negara, di samping dua panel,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sini hari ini.

Sambutan itu dirasmikan Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Rohani memberitahu, pasangan tersebut juga akan dibantu mengikut kesesuaian masalah konflik yang dihadapi mereka.

Katanya, menjadi hasrat LPPKN untuk memastikan pasangan masing-masing mengembalikan semula kasih sayang bagi mengelak perceraian.

“Selain mereka yang beragama Islam, pasangan agama lain turut menghadapi masalah yang sama dalam perkahwinan masing-masing.

“Antara lain, masalah rumah tangga yang dihadapi mereka termasuk pasangan terlibat dengan jenayah, kewangan, tiada zuriat dan masalah kesihatan pasangan,” ujarnya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya