Sokong Palestin bukan bermaksud sokong pengganas - Anwar

Sokong Palestin bukan bermaksud sokong pengganas – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika menyampaikan syarahan di University of California, Berkeley, San Francisco, Amerika Syarikat, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendirian Malaysia dalam konflik Palestin-Israel, tindakan menggesa gencatan senjata dan gesaan menghentikan pengeboman terhadap Semenanjung Gaza, diputarbelitkan sehingga dituduh bersetuju dengan tindakan pengganas, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mempertahankan pendirian negara, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengutuk semua bentuk keganasan yang berlaku dalam konflik Palestin-Israel.

“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen, tiada keraguan sama sekali. Kami mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membunuh orang tidak berdosa dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.

“Begitu juga, kami dengan tegas mengutuk tindakan mengebom orang awam, rumah, hospital serta mencetuskan kekejaman terhadap orang tidak berdosa, kanak-kanak, wanita, lelaki, tak kira siang atau malam di Gaza tanpa hukuman.

“Ini adalah pelanggaran undang-undang antarbangsa secara terbuka,” katanya ketika berucap di University of California, Berkeley, San Francisco, Amerika Syarikat, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Hamas yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarika (AS), Israel dan kebanyakan negara Eropah.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa, Malaysia melihat konflik tersebut sebagai krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh peperangan, tanpa pilih kasih.

“Akhirnya, konflik ini bukan tentang tuhan mana yang kita sembah. Lagi pun, lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri daripada orang Islam dan Kristian serta warganegara pelbagai negara.

“Ia adalah mengenai mencegah lebih banyak kematian, lebih banyak penderitaan dan lebih banyak kebencian,” katanya.

Tegas Anwar lagi, menyokong perjuangan rakyat Palestin tidak boleh ditafsirkan sebagai ucapan kebencian (hate speech) mahu pun menyokong organisasi pengganas.

“Apa yang berlaku hari ini di Palestin akan memberi kesan kepada kita semua. Implikasi daripada konflik ini sangat ketara dan berpanjangan.

“Ia akan menjejaskan bukan saja Palestin atau meluas ke Asia Barat, sebaliknya ia juga akan meninggalkan kesan terhadap hubungan global untuk beberapa tahun mendatang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya