PETALING JAYA: Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MBSF) terpaksa membuat keputusan sukar tidak menghantar penyandang juara dunia, Lim Kok Leong dan Moh Keen Hoe ke Kejohanan Snuker dan Biliard Dunia 2023 di Doha, Qatar gara-gara kekurangan dana.
Presiden MBSF, Melvin Chia mengakui ia keputusan yang amat perit, namun baginya pihak persatuan terpaksa berjimat untuk menghadapi kalendar tahun hadapan, ditambah mereka sudah pun mencapai kejayaan membanggakan ketika edisi tahun lalu.
Gandingan Kok Leong dan Keen Hoe mencipta sensasi tahun lalu apabila dinobatkan sebagai juara dunia berpasukan lelaki ketika Kejohanan Snuker Berpasukan Dunia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada September.
Dua bulan kemudian, Kok Leong sekali lagi menggegar dunia apabila melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama menjadi juara dunia di Kejohanan Snuker Amatur Dunia di Antalya, Turki.
“Kami tidak mahu memberikan mereka (Kok Leong dan Keen Hoe) berdepan tekanan yang tidak sepatutnya, kerana selepas mereka menang, prestasi Kok Leong sedikit terjejas kerana beban gelaran yang disandangnya, tambahan kejohanan dunia diadakan pada setiap tahun.
“Faktor kos juga memainkan peranan juga, kerana kejohanan itu berlangsung selama 15 hari, tambahan ia dianjurkan di Doha dengan anggaran kos sekitar RM70,000 untuk kami ke sana. Saya lebih rela simpan duit itu untuk program pembangunan kami.
“Bagi saya, bagus untuk mereka memenangi gelaran individu, tetapi tidak perlu kami mengejarnya untuk setiap tahun, kerana keutamaan kami selepas ini adalah kejohanan bertemasya,” jelas Melvin.
Selain itu, pihak MBSF turut berdepan kekangan untuk melatih pemain-pemain muda, khususnya di bawah umur memandangkan mereka tidak mempunyai pusat latihan tersendiri.
“Apapun saya boleh katakan program kami sedang menunjukkan peningkatan, cuma kami bukanlah atlet-atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).
“Kita sudah ada budak-budak muda seawal 12 tahun, yang mula berlatih snuker. Tetapi kesukaran yang kami hadapi ketika ini adalah kami tiada pusat latihan, dan mereka pula tidak dibenarkan masuk ke pusat snuker di luar kerana masih di bawah umur.
“Kami sudah memohon MSN untuk mewujudkan satu pusat latihan bagi memudahkan kami melatih pemain-pemain muda ini, dan kami berharap ia dapat diluluskan untuk persediaan ke Sukan SEA Thailand 2025,” tambahnya. – UTUSAN