PETALING JAYA: Dua wakil negara, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong.
Pilihan ketiga, Eain Yow menewaskan Gregoire Marche dari Perancis 8-11, 11-3, 11-4, 11-2 dalam masa 43 minit pada suku akhir, hari ini.
Bagaimanapun, ujian getir menanti pemain perseorangan lelaki No. 1 negara itu apabila perlu berdepan pilihan pertama, Mohamed Elsherbini pada peringkat empat terbaik jika berhajat menjejakkan kaki ke perlawanan akhir.
Jaguh Mesir itu mengetepikan wakil tuan rumah, Henry Leung 9-11, 5-11, 11-7, 11-3, 11-5 dalam satu lagi suku akhir.
Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita, pemain No. 29 dunia, Sivasangari mengejutkan pilihan ketiga, Sabrina Sobhy dari Amerika Syarikat 11-6, 11-8, 7-11, 11-7 dalam masa 42 minit.
Pada separuh akhir, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berpeluang untuk membalas dendam ke atas pemain No. 13 dunia, Sarah-Jane Perry dari England yang menyingkirkannya pada suku akhir Terbuka Singapura.
Pilihan kedua, Perry mara ke peringkat empat terbaik selepas menumpaskan pilihan kelima, Melissa Alves dari Perancis 3-11, 11-7, 6-11, 11-8, 11-8 dalam masa 54 minit.
Dalam pada itu, nasib berbeza mengiringi seorang lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold apabila dia gagal menandingi kehebatan juara remaja dunia, Amina Orfi dari Mesir 11-8, 2-11, 12-14, 2-11 dalam masa 46 minit. – UTUSAN