KUALA LUMPUR: Tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini adalah selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan, kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Walau bagaimanapun katanya, kebebasan bersuara tidak membawa maksud seseorang individu boleh membuat tohmahan, fitnah, mengeluarkan kata-kata kesat atau kebencian terhadap institusi raja mahupun memperlekehkan agama atau berbaur perkauman.
“Salah satu tanggungjawab perundangan utama SKMM adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia.
“SKMM mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, mengancam dan berunsur fitnah,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru katanya, tindakan yang diambil oleh SKMM adalah selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta 588 dan bukanlah untuk menyekat kebebasan media.
“Ia bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat, ucapan berbaur kebencian.
“Serta melindungi integriti raja berperlembagaan dan institusi demokrasi dengan penghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” katanya.
Jelasnya, pengamal media serta saluran berita dinasihatkan untuk merujuk kepada Kod Kandungan yang memberi panduan jelas bagi memastikan pelaporan yang bertanggungjawab, mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan bersuara serta menyumbang kepada suatu wacana yang lebih seimbang dan termaklum, bebas daripada sebarang manipulasi dan maklumat yang kurang tepat.
Katanya, SKMM turut mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan libat urus bersama organisasi media bagi membincangkan isu-isu yang berbangkit sebagai suatu langkah inklusif agar secara bersama dapat diwujudkan persekitaran digital yang lebih positif, harmoni, dan kondusif untuk semua.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan media akan terus dipertahankan dan pendirian itu kekal seperti mana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia.
“Selain itu, sepanjang tempoh pemerintahan Kerajaan hari ini, tiada seorang pun wartawan atau pihak media ditahan oleh pihak polis, dan tidak ada satu akhbar atau syarikat media pun yang ditutup,” katanya.
Tambahnya, sebagai komitmen dan sokongan kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media di negara ini, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai sebuah badan kawal selia kendiri melalui akta berkaitan dan mengambil kira peranan majlis tersebut untuk mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jaminan kerajaan tidak menyalahgunakan SKMM dalam menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara khususnya kandungan media sosial yang menegur kerajaan kerana nyata bercanggah dengan prinsip demokrasi dan janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN