SHAH ALAM: Penggulungan daripada exco-exco berhubung Skim Insurans Am Selangor (Insan) dan Insan Takaful tidak benar-benar menjawab persoalan berhubung penyalahgunaan data serta pelantikan Wavpay Fintech Holding Sdn.Bhd. (Wavpay).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri gagal memberikan jawapan memuaskan berasaskan fakta berkaitan pelaksanaan program tersebut.
Menurutnya, tindakan kerajaan negeri mengeluarkan surat pelantikan tergesa-gesa kepada Wavpay sebagai pengendali skim tersebut wajar dipersoalkan.
“Kita mengeluarkan banyak fakta berasaskan dokumen yang dikumpulkan di mana exco terbabit tidak menafikan, bahawa pindaan yang terakhir dibuat kepada cadangan asal telah dikemukakan pada 27 September 2022.
“Dalam tempoh tiga hari iaitu pada 1 Oktober 2022 Menteri Besar Diperbadankan (MBI) mengeluarkan Surat Pelantikan kepada Wavpay. Apakah dalam masa tiga hari mereka mampu membuat penilaian terhadap pindaan yang dibuat.
“Yang keduanya, exco juga tidak menafikan kenyataan saya di dalam dewan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan perlantikan Wavpay sebagai agensi pelaksana perkhidmatan pada 7 September. Jadi persoalan ini juga menimbulkan banyak kecelaruan, bagaimana MMKN boleh luluskan pada 7 September sedangkan pindaan terhadap cadangan itu diterima pada 27 September,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang (PN) mendakwa beliau bersama ADUN PN lain sepakat menggesa penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas (Selcat) segera.
Jawatankuasa tersebut didakwa pelu mengambil tindakan susulan terhadap skim terbabit yang dikatakan melanggar tatakelola pelaksanaan skim kebajikan untuk rakyat di negeri ini.
“Saya juga mendapat pandangan ahli-ahli PN, agar perkara ini juga dibawa ke dalam Selcat yang saya desak dalam perbahasan jangan lengahkan penubuhan Selcat dan saya sebut dalam dewan apakah tujuan melengah-lengahkan.
“Adakah tujuan lain kerajaan negeri untuk menutup ketirisan, kebocoran dan ketidakbertanggungjawaban di atas perkara seperti ini. Kita juga akan lakukan sesuatu tertakluk perbincangan selanjutnya,” tegasnya.
Untuk makluman, Skim Insan adalah perlindungan insurans am berkumpulan kepada 6 juta Rakyat Selangor berumur bermula dari 30 hari sehingga 80 tahun dengan premium insurans ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Ia merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan beban rakyat yang dihimpit pelbagai masalah, melindungi rakyat dengan semangat negeri penyayang.
Jumlah perlindungan insurans am setiap individu adalah RM10,000 untuk kematian dan hilang keupayaan kekal yang disebabkan oleh kemalangan. Pendaftarannya bermula pada 1 Oktober 2022 dan berakhir pada 30 September tahun ini. – UTUSAN