Siti Bainun hilang 60 kilogram berat dalam penjara, maklumkan sihat - Utusan Malaysia

Siti Bainun hilang 60 kilogram berat dalam penjara, maklumkan sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Kehadiran pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menarik perhatian ramai apabila bentuk badannya semakin susut kerana kehilangan 60 kilogram daripada berat asal.

Difahamkan, berat badan Siti Bainun sebelum ini mencecah 150 kilogram (kg) ketika mula menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 3 Mei lalu namun kini menurun kepada 90 kg.

Wanita itu memakai jubah merah jambu ketika dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara.

“Saya sihat,” demikian ujar Siti Bainun ringkas ketika ditanya oleh pihak media berhubung keadaan kesihatannya.

Terdahulu, Hakim Datuk Noorin Badaruddin menangguhkan pendengaran rayuan sabitan dan hukuman serta menetapkan 7 Disember ini bagi pengurusan kes sebelum pendengaran rayuan pada 30 Januari 2024.

Ini kerana peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun selaku perayu memaklumkan terdapat nota keterangan daripada saksi pembelaan kelapan yang belum lengkap.

“Justeru pihak kami memohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam itu.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad tidak membantah dengan tarikh baharu bagi pengurusan kes seterusnya.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun, 31, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas  pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini di antara Februari dan Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman. Sejurus selepas dijatuhi hukuman, Siti Bainun sekali lagi membuat rayuan bagi penangguhan hukuman di Mahkamah Tinggi, namun gagal.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selain meneliti secara terperinci hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak sebelum ini.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, alasan yang dikemukakan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara antaranya faktor kesihatan, tanggungjawab dan jantina adalah tidak mempunyai merit.

Selanjutnya hakim itu berkata faktor pemohon merupakan seorang wanita bukanlah suatu keadaan istimewa yang mewajarkan untuknya menangguhkan hukuman penjara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN