Sistem rel Sabah-Sarawak mampu jadi pemangkin ekonomi Sabah

Sistem rel mampu jadi pemangkin ekonomi Sabah, Sarawak

ALEXANDER Nanta Linggi (dua dari kiri) tiba di Majlis Makan Malam Sambutan ke-70 tahun Sekolah Antarabangsa Lodge, di Hotel Imperial Kuching malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Cadangan pembinaan sistem rel yang menghubungkan Sabah dan Sarawak akan beri manfaat kepada pemain industri untuk meneroka lebih banyak aktiviti ekonomi di antara Sabah dan Sarawak sehingga ke Kalimantan, Indonesia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yakin usaha itu akan turut menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar. 

“Ia bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak, tetapi juga boleh memanfaatkan sehingga ke ibu negara Indonesia yang akan berpindah ke Borneo iaitu di Kalimantan.

“Justeru, sekiranya sistem ini nanti boleh menyambung sehingga ke Indonesia, ia akan memberi impak yang lebih besar dan bermakna dalam kegiatan aktiviti ekonomi. 

“Malah, sekarang, kita mempunyai Lebuhraya Pan Borneo dan jika ia ditambah dengan sistem rel, saya yakin ia akan mendapat manfaat dari segi mempelopori aktiviti ekonomi terutamanya dari segi mobiliti pengangkutan barangan produk dan menyediakan sebagai pemangkin kepada aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas hadir majlis sambutan makan malam ke-70 tahun Sekolah Antarabangsa Lodge, di Hotel Imperial malam tadi. 

Baru-baru ini, peruntukan bagi kajian kebolehlaksanaan sistem rel yang menghubungkan Sabah dan Sarawak diluluskan dalam Belanjawan 2024 di Parlimen. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagaimanapun berkata, kajian hanya akan dimulakan tahun depan selepas pelantikan jururunding bagi kajian tersebut akan dilakukan melalui proses tender.

Sehubungan itu, Alexander memberi keyakinan melalui kajian itu nanti, ia memberi peluang kepada usaha kerajaan untuk membangunkan sistem pengangkutan di antara negeri Sabah dan Sarawak. 

“Sudah tentu saya mengalu-alukan usaha yang kerajaan untuk melakukan kajian berhubung pembangunan sistem rel di Sarawak dan mungkin keseluruhan di Borneo ini. 

“Inisiatif seperti ini dapat membantu usaha kerajaan untuk membangunkan penduduk dalam sosioekonomi mereka sekali gus membangunkan ekonomi negara, malah, saya berharap ia akan menjadi kenyataan buat penduduk di Sabah dan Sarawak,” ujar Alexander. 

Alexander bagaimanapun tidak menafikan pembinaan sistem rel secara fizikal ini kelak akan mengambil sedikit masa kerana kajian kebolehlaksanaannya perlu dilakulan terlebih dahulu. 

Untuk rekod, kajian kebolehlaksanaan itu akan menilai dari segi faktor ekonomi iaitu pulangan terhadap pelaburan, keperluan sektor kargo serta ketersambungan antara pelabuhan dan sektor rel.

Selain itu, dari segi jajaran keadaan geografi, ia juga akan menilai sama ada boleh dilaksanakan dan apakah anggaran kos yang diperlukan sebelum langkah seterusnya sama ada kerajaan boleh laksanakan projek tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan sentiasa mengalu-alukan perbincangan bersama kerajaan Indonesia berhubung cadangan mewujudkan sistem pengangkutan yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan ibu negara Indonesia yang baharu di Kalimantan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya