KUALA LUMPUR : Peguam kepada bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar boleh membuat permohonan untuk menyemak semula hukuman gantung yang dikenakan ke atasnya setelah dia dibebaskan daripada tahanan imigresen di Australia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian bagi menjelaskan status Sirul sama ada beliau boleh membuat permohonan setelah Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori.
Katanya, jika sabitan hukuman mati itu berubah kepada hukuman lain seperti penjara sepanjang hayat, barulah proses ekstradisi boleh dilakukan.
“Oleh kerana status Sirul Azhar sudah dijatuhkan hukuman, persoalan seterusnya adalah apakah beliau melalui peguam boleh memohon hukuman ke atasnya itu dapat dikemukakan (semakan).
“Sekarang, ada 1,267 pesalah yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah, dan kira-kira 900 lebih sudah kemuka semakan semula hukuman. Sebab sabitan tak berubah… daripada hukuman mati misalnya kepada hukuman penjara sepanjang hayat.
“Apakah Sirul Azhar mempunyai hak menerusi peguamnya? Dia boleh saja mengemukakan (permohonan) untuk ruang (semakan) ini. Kalau itu sudah dibuat, barulah boleh proses ekstradisi atau umpama rayuannya berakhir dengan adanya perubahan dari segi hukuman, sementara sabitan tidak berubah tapi hukuman berubah,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan di Parlimen, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, walaupun Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi, wujud kekangan tertentu untuk melaksanakan proses itu memandangkan Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undangnya.
“Memang ada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Australia. Di Malaysia, status Sirul Azhar seperti yang kita maklum, dia sudah dijatuhi hukuman mati, manakala Australia pula sebuah negara yang tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati terhadap pesalah jenayah di negara mereka.
“Justeru, antara syarat ekstradisi, dia ada banyak untuk boleh dilaksanakan yang mana kesalahan terbabit mestilah ada elemen ‘dual criminality’, iaitu kesalahan mesti menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang turut membawa hukuman yang sama. Jadi walaupun kita ada perjanjian ekstradisi, ia ada satu perbezaan di situ.
“Seterusnya, kita juga ada banyak perjanjian ‘Mutual Legal Agreement’ (MLA), termasuk dengan Australia (yang dipanggil) ‘Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002’. Namun, prinsip ‘dual criminality’ masih terpakai,” katanya. – UTUSAN