KUALA LUMPUR: Tindakan satu sindiket penipuan perjudian dalam talian mencipta akaun palsu menggunakan perkenalan untuk mencari mangsa, terbongkar selepas lima individu termasuk seorang remaja bawah umur ditahan polis di sebuah premis di Genting Highlands, Pahang, Isnin lalu.
Premis berkenaan didapati dijadikan pusat panggilan atau calling centre yang menawarkan perjudian dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu dipercayai mencipta akaun palsu dalam laman sosial seperti aplikasi Tantan, Bumble Dating, CMB Dating dan Tinder untuk berkenalan dan mencari mangsa sebelum menawarkan permainan judi dalam talian.
Kata beliau, mangsa yang terpedaya kemudian ditawarkan permainan judi palsu melalui laman sesawang https://luxewin.co/.
“Pada awalnya, mangsa diberikan kemenangan mudah dan dibayar pulangan yang dijanjikan. Namun setelah bayaran dibuat, hadiah kemenangan tersebut gagal ditebus,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Ramli berkata, sindiket penipuan itu turut menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa mereka.
Ujar beliau, hasil serbuan itu, pihaknya merampas lima unit notebook selain 22 unit telefon bimbit dan tiga kad akses.
“Empat suspek yang ditahan direman tiga hari sehingga esok manakala seorang lagi ditahan dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kes berasingan, Ramli memberitahu, satu serbuan dilakukan pada hari sama di empat premis di Kuching, Sarawak dan menahan 65 warga tempatan berusia dalam lingkungan 16 hingga 50 tahun kerana disyaki terlibat dengan pusat panggilan penipuan bagi tawaran kerja tidak wujud.
Kata beliau, turut diberkas ketua sindiket iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun .
“Turut dirampas adalah 137 unit telefon bimbit, komputer (45 set); modern wifi (enam unit); jam tangan (lima utas) dan kenderaan pelbagai jenama (empat buah). Siasatan awal mendapati, sindiket ini menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Australia dan Amerika Selatan seperti Brazil, Peru, Paraguay, Chile dan lain- lain,” katanya.
Kata beliau, modus operandi mereka adalah dengan menggunakan aplikasi Monday untuk memasukkan data pelanggan yang berminat bagi membuat kerja sambilan.
“Mereka juga menggunakan aplikasi Telegram, LinkedIn dan Facebook untuk mencari dan berkenalan dengan mangsa. Mangsa yang berminat akan diberikan pautan bagi tujuan pendaftaran dan menyelesaikan tugasan yang diberikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, mangsadikenakan bayaran bagi setiap tugasan yang diberikan dan dijanjikan komisen beserta pulangan semula wang bagi setiap tugasan yang dilengkapkan.
“Penugasan yang perlu dilakukan adalah memberikan review dan mempromosi tiket penerbangan melalui laman web cheap-airflight.live yang dikendalikan pihak sindiket,” katanya.
Beliau berkata, empat premis yang diserbu adalah milik seorang individu sama dan individu tersebut mendakwa telah menyewakan premis miliknya dan menafikan pengetahuannya berkaitan aktiviti jenayah yang dilakukan di dalam premis tersebut
“Bagaimanapun, pemilik premis gagal mengemukakan sebarang perjanjian sewaan yang boleh mengesahkan dakwaannya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN