Sindiket pemalsuan pasport, dokumen pelajar tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket pemalsuan pasport, dokumen pelajar tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket menjual pasport palsu dan pelbagai dokumen perjalanan tumpas dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Nigeria dalam operasi khas Jabatan Imigresen di sekitar Kajang, Selangor, 25 Oktober lalu.

Operasi dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya melalui hasil risikan selama dua minggu yang berjaya membongkar kegiatan suspek berusia 46 tahun dipercayai menjual pasport kepada individu dari benua Afrika.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemeriksaan dijalankan di rumah suspek di Jalan Chan Sow Lin menemukan 10 pasport Nigeria dipercayai palsu.

“Pasukan serbuan turut menemukan sekeping pelekat Pas Pelajar palsu yang dikatakan diperoleh daripada seorang lelaki warga Ghana.

“Susulan itu pasukan operasi bertindak untuk mengesan dan menahan seorang lelaki warga Ghana berusia 56 tahun di Jalan Kasturi di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan serbuan kemudiannya memeriksa kediaman suspek kedua di sekitar Cheras, Selangor turut menemukan dua keping pelekat Pas Pelajar, i-Kad (enam), kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) (satu) dan kad pelajar pelbagai universiti (tujuh).

Jelas beliau, siasatan mendapati sindiket terbabit menyasarkan individu dari benua Afrika yang mempunyai masalah dokumen dengan menawarkan pasport palsu serendah RM1,000.

“Bagi pas dan dokumen lain akan dikenakan bayaran RM200 setiap keping antaranya pas pelajar dan kad pelajar.

“Sindiket akan mencari mereka yang bermasalah ini dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan untuk menyediakan dokumen berkenaan,” katanya.

Kedua-dua suspek ditahan di Depoh Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya