KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Sdn. Bhd menjadi syarikat pertama memperkenalkan sistem teknologi dan platform untuk ladang kelapa sawit di negara ini yang boleh mengurangkan jejak karbon dan kesan pemanasan global terhadap kehidupan seharian.
Naib Presiden II, Bahagian Penyelidikan Perladangan Agronomi dan Pertanian Ketepatan Sime Darby Plantation Sdn. Bhd, Dr. Sim Choon Cheak berkata, platform geospatial membolehkan mereka mempunyai gambaran keseluruhan tentang operasi ladang kelapa sawit.
Katanya, pasukan Sime Darby sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dan bekerja dengan teknologi dan robotik untuk ketepatan maklumat pertanian di penghujung jari dan memerlukan perkakasan untuk melaksanakannya.
“Jadi, itulah platform GIS (geo-information system). Kami menggabungkan pertanian dan robotik untuk ketepatan sebagai penyelesaian dalam menangani isu-isu tertentu
“Jadi di situlah penyelesaian mekanisasi, robotik yang luas dan teknologi muncul. Oleh itu, menggabungkan kedua-dua ini secara semula jadi akan membolehkan kita mencapainya,” kata beliau ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini minggu lalu.
Program tiga hari tersebut dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan melibatkan kira-kira 100 panel dan 2,000 peserta yang berkongsi kepakaran, pengalaman dan membincangkan hala tuju industri sawit negara.
Kongres tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Choon Cheak menjelaskan, objektif utama platform GIS pada dasarnya untuk mewujudkan ekosistem Data Besar Geospatial Sime Darby Plantation yang membolehkan penglibatan pihak berkepentingan menggunakan platform risikan lokasi bersepadu untuk meningkatkan cerapan dan kecekapan operasi ke arah pelaksanaan Pertanian 4.0.
Melalui platform tersebut katanya, ia menggambarkan maklumat yang tepat dan boleh berhubung melalui satu aplikasi selagi mempunyai sambungan internet.
Namun menurut beliau, untuk mencapai matlamat sifar bersih, melalui platform itu sendiri sahaja tidak mencukupi.
“Kami masih berada di peringkat awal dan kami sentiasa mengalu-alukan orang ramai untuk bekerjasama dalam menyertai kami dalam usaha ini.
“Sebagai permulaan, kami menerima mereka yang mempunyai idea bernas, mencari pembiayaan melalui kolaboratif permohonan geran penyelidikan atau mereka mempunyai penyelesaian sedia ada yang mereka ingin tawarkan kepada kami dan ahli akademik yang ingin mengesahkan dapatan penyelidikan mereka” katanya.
Dalam masa yang sama katanya, Sime Darby telah bekerjasama dengan pihak luar seperti agensi korporat, pendidikan, pembangunan teknologi dengan rakan kongsi perkhidmatan dan juga platform inovasi secara terbuka untuk tujuan itu.
Sehubungan itu tambahnya, Sime Darby juga mempunyai teknologi dron untuk membangunkan baja pokok dan bekerjasama dengan Nestle untuk program penanaman pokok dengan Malaysia serta Indonesia akan menjadi keutamaan.
“Setakat ini, kami mempunyai kira-kira 744,188 hektar keluasan tanah di empat negara iaitu merangkumi Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan Pulau Solomon
“341,535 daripada keluasan itu berada di Malaysia dan bakinya di tiga negara lain,” ujarnya. – UTUSAN