Sidang DUN Terengganu lulus Belanjawan 2024 - Utusan Malaysia

Sidang DUN Terengganu lulus Belanjawan 2024

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Belanjawan 2024 selepas dibahaskan selama empat hari oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak Isnin lalu.

Belanjawan Terengganu 2024 yang memperuntukkan RM1.860 bilion bertemakan ‘Meneraju Era Baharu Terengganu’ itu memberi fokus kepada tiga tunjang iaitu memperkukuhkan keberkesanan kerajaan, mempelbagaikan sumber kekayaan dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan dua strategi bagi mengukuhkan kewangan negeri pada tahun hadapan.

“Pertama, kita akan terus berusaha untuk mendapatkan dana hasil daripada royalti petroleum melalui sesi perbincangan dan perundingan dengan kerajaan Pusat.

“Kedua, kita akan menjana pendapatan baharu melalui pemerkasaan sumber sedia ada dan penerokaan sumber baharu yang perlu dilaksanakan dengan cermat dan bersasar,” katanya ketika dalam sesi menggulung pembahasan Belanjawan 2024 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengenai isu royalti petroleum pula, Ahmad Samsuri berkata, walau apa juga nama yang digunakan kerajaan Persekutuan sama ada Wang Ehsan, Bayaran Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan, pihaknya menegaskan bahawa ia adalah hak rakyat dan negeri Terengganu.

“Kerajaan Persekutuan mesti memulangkan dana ini langsung kepada kerajaan negeri yang direkodkan sebagai hasil negeri dan mengikut jadual seperti yang telah menjadi amalan sejak sekian lama.

“Untuk rekod dan berdasarkan kadar harga minyak yang turun naik, pada tahun 2018, Terengganu menerima sebanyak RM1.374 bilion pada tahun 2018, RM1.497 bilion pada tahun 2019 dan RM1.226 bilion pada tahun 2020.

“Pada tahun 2021, Terengganu menerima sebanyak RM1.287 bilion, RM1.393 bilion pada tahun 2022 dan hingga saat ini pada tahun 2023, hanya menerima RM0.56 bilion.

“Kita akan terus berbincang, berunding dan menuntut hak kita tanpa pernah rasa lelah dan putus asa. Kita juga akan mengatur gerak beberapa pendekatan lain berasaskan Perlembagaan dan semangat federalisme hingga kerajaan Persekutuan menyerahkan kembali hak ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya