SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini diingatkan supaya tidak mengemukakan soalan tambahan bagi pihak ahli yang tidak hadir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengelakkan wujud trend kirim soalan untuk ponteng.
Sebaliknya, soalan tambahan bagi sesuatu isu wajar dibangkitkan oleh ADUN asal yang membawa isu tersebut kecuali mempunyai sebab munasabah atau pertanyaan itu mempunyai merit untuk dipertimbangkan melalui budi bicara Speaker.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, hal demikian bertujuan menggalakkan ADUN menghadiri sidang untuk membawa sendiri isu yang hendak dibangkitkan serta soalan tambahan untuk dikemukakan.
Menurutnya, jika tidak, demi menjimatkan masa sidang akan diteruskan dengan soalan seterusnya dan memberi peluang kepada ADUN lain untuk membangkitkan isu di kawasan masing-masing.
“Untuk membolehkan soalan lain boleh dijawab, maka untuk jimatkan masa, soalan sebenarnya isu itu (dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) sudah dibangkitkan ramai ADUN, sudah pasti akan ada jawapan daripada exco berkaitan pada sesi penggulungan.
“Saya tak terima tuduhan liar mengatakan keputusan tidak membenarkan soalan tambahan ditanya adalah tidak adil kerana ADUN Hulu Kelang (Mohamed Azmin) kena ingat ucapannya sebagai Ketua Pembangkang tiada had masa, saya tidak ingat kalau dia ada sebut perkara ini dalam perbahasan,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang DUN, hari ini.
Terdahulu dalam sesi soal jawab ketika DUN Selangor bersidang, Mohamed Azmin (PN) mempertikaikan tindakannya untuk mengemukakan soalan tambahan berhubung tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Genting Highlands dinafikan.
Pertikaian tersebut dibuat selepas Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong yang dilaporkan tidak hadir atas masalah kesihatan.
Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu membangkitkan Peraturan Tetap Mesyuarat 24(3) berhubung soalan tambahan untuk dikemukakan selepas jawapan exco dalam Sidang DUN.
“Bukan soalan tambahan, saya bawa Peraturan Mesyuarat. Peraturan Mesyuarat 24(3), saya ingin speaker buat petua, boleh tanya soalan tambahan atau tidak?.
“Kalau speaker buat keputusan tidak boleh buat soalan tambahan, tak perlu kita hadir untuk bahas pada sesi pagi,” soalnya.
Weng San (Speaker):Bergantung pada budi bicara saya
Mohamed Azmin: Ini soalan 52, meragut nyawa rakyat Selangor. Satu soalan yang penting, kenapa bila exco menjawab saya tak boleh beri soalan tambahan? Saya yang minta perkara ini dibangkitkan.
You have to be fair, speaker. Peraturan membenarkan saya bertanya soalan tambahan. Ini soalan yang (menyentuh tragedi tanah runtuh Batang Kali) meragut nyawa rakyat Selangor.
Weng San (Speaker): Baik, sudah habis? Sila duduk.
Ahli-ahli yang berhormat sekalian, saya membuat ruling mengikut Peraturan 24(3) untuk membenarkan soalan tambahan ditanyakan, tetapi juga kita harus melihat kepada Peraturan 24(2) bahawa jika soalan berkenaan tidak ditanyakan atas ahli (asal) yang membawa soalan tersebut, mana-mana ahli yang lain boleh mengambilnya sebagai soalan sendiri dengan persetujuan daripada speaker. Kalau kita baca peraturan tetap kita kena baca menyeluruh. – UTUSAN