SHAH ALAM: Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini diseru menyumbang ke dalam tabung kemanusiaan Palestin yang dicadang ditubuhkan bagi membantu mangsa keganasan tentera Israel di Gaza.
Setiap ADUN disaran menyumbang RM5,000 ke dalam tabung tersebut yang disasarkan dapat mengumpul sehingga RM280,000 sebelum disalurkan bagi kegunaan pelbagai keperluan seperti makanan dan perubatan di negara Tebing Barat itu.
ADUN Bukit Lanjan, Pua Pei Ling ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2024 berkata, jika tabung tersebut ditubuhkan dan sumbangan berkenaan direalisasikan, Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini akan menjadi dewan pertama di negara ini yang menyumbang kepada mangsa keganasan di Palestin.
“Krisis kemanusian itu walaupun jauh beribu kilometer dari kita, hadirnya kita di dewan ini sebagai pemimpin tidak luntur pegangan untuk memainkan peranan sebagai ahli, nescaya Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang melakukan sebarang tindakan munasabah.
“Disaat kita berkumpul di dewan ini, laungan perit meminta pertolongan tidak terputus di dengar di sana.
“Pada waktu ini, ambulans di sana tidak lagi dapat bergerak dan penduduk di kepung di ke semua arah. Bekalan air, makanan, elektrik sehingga hospital diletupkan oleh Zionis di Gaza. Dengan izin, we are having the worst humanitarian crisis among civilist humans yang mana genocide dan ethnic cleansing sedang berlaku di depan mata kita,” katanya dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor menyumbang sebanyak RM1 juta ke dalam Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan pada bulan lalu.
Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa krisis kemanusiaan akibat perang Israel – Palestin di Gaza termasuk menerima kertas cadangan daripada sebuah syarikat yang pernah bekerjasama dengan kerajaan negeri sebelum ini untuk membantu penduduk di Gaza.
“Kita akan ikut perkembangan dan berurusan dengan pihak berkenaan mungkin akan libatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri sebab mereka perlukan top-up dari segi peralatan kesihatan pada ambulans yang sedang digunakan di Gaza,” katanya. – UTUSAN