SHAH ALAM: Selangor memerlukan pengeluaran beras empat kali ganda berbanding pengeluarannya sebulan sebanyak 45,000 tan metrik bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
Bagaimanapun, bekalan sedia ada dilaporkan mencukupi untuk memenuhi permintaan iaitu sebanyak 20,000 tan di samping beras import tanpa menyentuh stok penimbal sebanyak 60,000 tan sebagai penampan kepada kekurangan sumber makanan ruji itu.
Exco Pertanian dan Infrastruktur, Izham Hashim berkata, isu sebenar yang dihadapi adalah pengagihan beras yang diuruskan oleh jabatan berkaitan di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Ke mesyuarat exco pun kita panggil (wakil jabatan) untuk dibentangkan, ikut laporannya memang ada satu ketika itu isu kekurangan tetapi sudah diatasi, cuma masalah pengagihan sebab kita minta kalau ada aduan dipanjangkan dan mereka akan atasi.
“Kita pun menggunakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebagai (pihak) kerajaan negeri untuk sama-sama membantu bukan sahaja dalam program Jelajah Ehsan Rahmah (JER), tetapi juga di tempat cawangannya, ada empat tempat di seluruh negeri yang dibekalkan beras,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati, Datuk Noorazley Yahya (PN) dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023.
Sebelum itu, Izham yang juga ADUN Pandan Indah (PH), menjelaskan penggunaan tanah untuk tujuan pertanian termasuk kawasan terbiar serta milik anak syarikat kerajaan negeri bagi meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini.
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh (PN) meminta kerajaan negeri memaklumkan jika terdapat perancangan tersebut termasuklah menggunakan tanah milik Universiti Selangor (Unisel) serta melibatkan belia dalam pertanian.
Dalam satu kluster di bawah Peta, kita panggil agro bandar. Kita ada dua iaitu agro siswa dan agro sekolah. Kita masuk sampai ke sekolah.
“Saya dapati ada sekolah di Selangor yang tanahnya agak luas contohnya di Sekolah Kebangsaan Cheras Indah, mereka usahakan pertanian dan kita bantu untuk pertingkatkan lagi hasil pertaniannya supaya lebih berfokus dan dapat meningkatkan hasil.
“Begitu juga di peringkat universiti, kita kenal pasti termasuk Unisel, mereka bukan sahaja sudah terlibat dalam pertanian tetapi mengusahakan ladang untuk ternakan keli yang mengeluarkan benih-benih keli. Kita sudah beri bantuan dan sokongan untuk meningkatkan keluaran.
“Saya juga maklumkan di sini, dalam kita mengenal pasti di Selangor, tanah kita agak terhad, sebab itu kita kena memanfaatkan tanah kecil pun. Tetapi dengan teknologi moden, penggunaan greenhouse ataupun rain shelter, hasilnya berdasarkan kajian dalam kawasan sama luas kita boleh tingkatkan hasil tiga kali ganda,” jelasnya. – UTUSAN