SHAH ALAM: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Mohd. Razali Saari (PN) mendakwa wujud tindakan sekularkan masjid mencetuskan kekecohan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2024, beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Selangor tidak sepatutnya menghadkan tugasan imam masjid kepada bacaan doa dan tahlil sahaja.
“Saya menyokong Menteri Besar mewujudkan masjid pengurusan, boleh ditambah daripada 20 kepada 30, kenapa kerana ini memberikan pekerjaan kepada anak muda lepasan institusi pengajian tinggi.
“Mereka yang ada bidang pentadbiran dan pengurusan boleh mengurus dan mentadbir. Beri peluang dan kepercayaan kepada mereka untuk mentadbir masjid, jangan sekularkan pentadbiran masjid… imam itu baca doa sahaja, imam itu tahlil sahaja, tidak,” katanya dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023.
Bagaimanapun, hal tersebut mengundang pertikaian daripada ADUN Seri Serdang, Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi (PH); Kota Damansara, Muhammad Izwan Ahmad Kasim (PH) dan Meru, Mariam Abdul Rashid sebelum Peraturan Dewan dibangkitkan dan Speaker, Lau Weng San meminta Mohd. Razali menarik balik perkataan tersebut.
Muhammad Izwan: Apakah maksud Sungai Panjang menyekularkan masjid? Jangan hanya menuduh dengan menyebut menyekularkan masjid. Sangat tak sesuai, tuduhannya sangat berat.
Kuang (Mohd Rafiq Mohd Abdullah-PN): Kota Damansara duduklah!
Muhammad Izwan: Apa yang dimaksudkan dengan menyekularkan masjid?
Weng San (Speaker): Sungai Panjang, ada peraturan tetap. Sungai Panjang sila duduk, ada peraturan dari Meru.
Mariam: Sangkaan jahat yang sebut menyekularkan masjid. Terima kasih Speaker.
Mohd. Razali: Sangkaan jahat apa? Speakar, 36(6) kepada ahli sahaja.
Mariam: Sangkaan jahat maknanya menunjukkan perkataan menyekularkan masjid ia menjurus seolah-olah pentadbiran Selangor ini menyekularkan masjid.
Weng San (Speaker): Adakah Sungai Panjang memaksudkan sebegitu?
Mohd. Razali: Tidak
Weng San (Speaker): Yang lain duduk, ini antara saya dengan Sungai Panjang sahaja. Sungai Panjang belum habis lagi.
Mohd. Razali: Ada peraturan lain, 36(9).
Weng San (Speaker): Ya, yang menyatakan apa?
Mohd. Razali: Menyatakan pada kelakuan selain daripada menjalankan urusan. Saya tak sebut mana-mana ahli, yang melakukan urusan. Peraturan 36(6) juga saya tidak menyatakan mana-mana ahli.
Weng San (Speaker): Saya menyarankan kepada Sungai Panjang supaya terus kepada isi perbahasan yang terakhir jangan menimbulkan…
Mohd. Razali: Sebab itu saya kata pengurusan masjid ini harus ditambah dan ditambah lagi modalnya supaya lebih banyak pengurusan masjid dan boleh juga memberikan modal untuk menghantar mereka ke universiti dan sebagainya.
Abbas Salimmi: Speaker, hendak tahu sekular itu ditujukan kepada siapa?
Weng San (Speaker): Sekular tadi tidak menujukan (ditujukan) kepada sesiapa kan?
Mohd. Razali: Apa takut sangat dengan (perkataan) sekular, saya tak masudkan sesiapa.
Weng San (Speaker): Jadi Sungai Panjang tidak menujukan kepada sesiapa?
Mohd. Razali: (Melambai tangan dan menggelengkan kepala kepada Speaker). Saya maksudkan jangan sekularkan institusi masjid.
Abbas Salimmi: Kepada siapa dimaksudkan?
Muhammad Izwan: Kepada siapa? Pegawai JAIS pun ada dekat sini.
Mohd. Razali: (Meneruskan perbahasan)
Abbas Salimmi: Speaker, perkara ini dia cakap sekular, sekular kepada siapa?
Weng San (Speaker): Tukar perkataan sekular untuk menambah baik pelaksanaan pengurusan masjid, ok baik.
Sungai Panjang setuju untuk tarik balik dan menukarnya dengan memajukan dan menambah baik pentadbiran masjid.
Abbas Salimmi: Dalam peraturan itu dilihat dia membuat sangkaan jahat, kepada siapa dia maksudkan sekular? Sungai Panjang tak sebut (tarik balik). Perkataan sekular tadi, Speaker.
Weng San (Speaker): Gantikan dengan perkataan menambah baik.
Mohd. Razali: Tidak ada istilah lain, sekular.
Abbas Salimmi: Perkataan sekular ditujukan kepada siapa?
Mohd. Razali: Tidak ada siapa.
Abbas Salimmi: Tidak perlu sampai sebut. Kenapa perlu sampai highlight perkataan sekular tadi?
Weng San (Speaker): Perkataan-perkataan yang akan menyebabkan polemik dan institusi agama itu dikurangkan supaya kita boleh maju ke depan kerana masa semakin tidak mengizinkan.
Muhammad Izwan: Speaker perlu memberi petua perkataan-perkataan yang tidak boleh disebut di dalam dewan.
Weng San (Speaker): Yang lain perlu elakkan, kita teruskan kepada isu perbahasan belanjawan yang dibangkitkan.
Mohd. Razali: Saya tak sebut isu pelancongan, nanti saya sembang dengan Sekinchan kemudian. Saya terus ke isu terakhir iaitu berkaitan dengan tanah. – UTUSAN