Sidang DUN: Sektor pembuatan, perkhidmatan Selangor memulih - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Sektor pembuatan, perkhidmatan Selangor memulih

Pembuatan dan perkhidmatan
NG Sze Han menjawab pertanyaan pada Sidang DUN Selangor dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Ke-15 Tahun 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Petunjuk ekonomi lemah dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang dihadapi negeri ini turut berlaku di seluruh negara dan rantau ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, bagaimanapun keadaan tersebut beransur pulih dan menunjukkan unjuran positif pada tahun hadapan berdasarkan situasi ekonomi ketika ini.

“Kita yakin pertumbuhan ekonomi Selangor bertambah baik berdasarkan situasi ekonomi dunia pada masa ini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan negeri mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sedangkan dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan di negeri ini mencatatkan pertumbuhan perlahan.

Mohamed Azmin memaklumkan, pada masa ini, sektor pembuatan hanya mencatatkan kadar pertumbuhan 1.4 peratus, manakala sektor perkhidmatan mencatatkan hanya 5.8 peratus di negeri itu.

Mengulas pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN dari Hulu Kelang itu, Sze Han memaklumkan pelabur perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri serta pematuhan terhadap peratusan kebergantungan pekerja asing.

“Apabila pelabur membawa masuk pelaburan mereka ke Malaysia, sudah tentu ada syarat tertentu termasuk berapakah peratusan pekerja tempatan yang mereka perlu ada berbanding dengan peratusan pekerja asing,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sze Han yang juga ADUN Kinrara turut menjawab soalan tambahan daripada ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim tentang jaminan kerajaan negeri memberi peluang pekerjaan kepada 100,000 rakyat Selangor.

“Kita tak boleh halang rakyat daripada negeri lain untuk masuk dan mencari rezeki ke negeri Selangor, malah pintu kita sentiasa terbuka tak kira mereka dari negeri mana, sebaliknya jika ia dapat memberi peluang pekerjaan dan tempat kediaman lebih baik dan selesa. 

“Maka kerajaan negeri mengalu-alukan semua rakyat Malaysia untuk berhijrah ke negeri Selangor,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya