Sidang DUN: RM41 juta diperlukan untuk Tapak Arkeologi Sungai Batu

Sidang DUN: RM41 juta diperlukan untuk Tapak Arkeologi Sungai Batu

SATU daripada dua arca Buddha yang ditemukan oleh kumpulan penyelidik USM di Tapak Arkeologi Bukit Choras, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan diharap dapat memberi kelulusan peruntukan berjumlah RM41 juta bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan Tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok di Kuala Muda.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin, permohonan itu sudah dibuat Jabatan Warisan Negara (JWN) kepada kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing agar mampu menjadikan Sungai Batu sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi oleh mana-mana pengunjung yang melancong ke Kedah.

“Jumlah itu daripada keseluruhan RM350 juta diperuntukkan kerajaan untuk merancakkan promosi serta aktiviti pelancongan seperti diumumkan Perdana Menteri ketika Belanjawan 2024 lalu,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Terdahulu, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman (PN-Tokai) mencadangkan kerajaan negeri memohon peruntukan daripada kementerian berkenaan untuk pembangunan Sungai Batu termasuk usaha mengeluarkan kapal purba yang menjadi bukti kawasan itu merupakan pelabuhan perdagangan kosmopolitan.

Dalam pada itu Mohd. Salleh berkata, kementerian melalui JWN sentiasa berusaha memberi perhatian terhadap khazanah warisan di Kedah termasuk daerah Yan menerusi pewartaan dan pengiktirafan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Katanya, pewartaan sedemikian akan memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain membantu memulihara, memelihara serta melindungi khazanah warisan tersebut.

“Hingga kini terdapat 10 tapak warisan di Kedah antaranya Kota Kuala Kedah; Balai Polis Alor Setar (lama); Pejabat Pos Besar Alor Setar (lama); Sekolah Kebangsaan Tunku Putra, Baling dan Balai Polis Sungai Petani, Kuala Muda.  

“Lima lagi tapak warisan yang diwartakan di Kuala Muda adalah Kompleks Percandian Pengkalan Bujang (Tapak 23); Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8); Tapak Arkeologi Sungai Batu dan Candi Permatang Pasir serta Kompleks Percandian Bukit Choras (Tapak 1) di Yan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya