Sidang DUN: Purata pengeluaran padi di Pulau Pinang tertinggi 6 tahun berturut-turut - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Purata pengeluaran padi di Pulau Pinang tertinggi 6 tahun berturut-turut

FAHMI Zainol pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Hasil purata pengeluaran padi di Pulau Pinang adalah yang tertinggi di dalam negara ini selama enam tahun berturut-turut sejak 2018 sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, walaupun kawasan tanaman sepanjang tahun semakin mengecil, Pulau Pinang masih mengekalkan tempat pertama dari segi pengeluaran hasil tahunan secara pukal.

”Jangan disangka negeri yang kecil ini tidak mampu bersaing dengan negeri-negeri yang berkeluasan jauh lebih besar.

“Sektor penanaman padi kita telah berjaya membuahkan hasil sebanyak RM190.8 juta pada tahun 2022,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Fahmi (PKR-Pantai Jerejak), pengeluaran hasil yang tinggi itu mampu dicapai melalui inisiatif kerajaan negeri yang menyalurkan insentif dan bantuan dalam pelbagai bentuk.

Pada tahun ini misalnya, ujar beliau, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Jabatan Pertanian di bawah Projek Pembangunan Tanaman Padi bagi membantu pesawah padi untuk kekal produktif.

”Peruntukan tambahan sebanyak RM440,000 telah disalurkan kepada Jabatan Pertanian dalam usaha membasmi penularan keladi agas dan rumpai dalam petak sawah,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, Pulau Pinang turut menyumbang kepada pengeluaran hasil akuakultur tertinggi dalam negara dengan nilai keseluruhan berjumlah RM681.2 juta tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM1.18 billion hasil diperolehi melalui sektor perikanan di Pulau Pinang bagi tahun lalu, malah, Pulau Pinang berada di tempat kedua dalam hasil tangkapan laut,” katanya.

Selain itu, katanya, Jabatan Perikanan juga akan memantapkan lagi industri tuna di Pulau Pinang dengan  sasaran sebanyak 3,000 tan metrik ikan tuna akan dibawa dari Lautan Hindi melalui pendaratan ke Pelabuhan Pulau Pinang di Dermaga Air Dalam, Butterworth menjelang tahun depan.

”Pulau Pinang juga merupakan lokasi yang digazetkan sebagai pelabuhan tuna selain di Langkawi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya