GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan Pulau Pinang mempunyai sumber nasir bumi yang dianggarkan bernilai RM100 bilion.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, ia berdasarkan kajian persampelan di beberapa lokasi oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
”Bagi Pulau Pinang, kajian persampelan di beberapa lokasi seperti Teluk Bahang, Balik Pulau dan di sekitar Nibong Tebal oleh JMG mendapati Pulau Pinang juga mempunyai sumber nasir bumi yang dianggarkan bernilai RM100 bilion.
”Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sedang mengatur perbincangan dengan JMG untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pada masa ini, Pulau Pinang telah mempunyai Enakmen Mineral (Pulau Pinang) 2001 yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2006.
”Bagi melancarkan pelaksanaan Enakmen Mineral ini, Peraturan-Peraturan Mineral Pulau Pinang perlu diwujudkan antara lainnya diperlukan bagi penetapan fi, sewa dan royalti dan kaedah memungutnya dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, mesyuarat Majlis Mineral Negara dan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) telah diadakan dan dibincang kerana di peringkat Pusat telah bersetuju dengan penyediaan Garis Panduan Pengeluaran Mineral Nadir Bumi iaitu Rare-Earth Element (REE).
“Namun, pihak kementerian masih belum mengedarkan kepada negeri-negeri dan kemungkinan sedang dimurnikan syarat-syarat yang patut dimasukkan.
”Dokumen SOP ini menjelaskan secara holistik mengenai rantaian aktiviti perlombongan dan prosedur yang perlu dipatuhi agar aktiviti yang dijalankan menepati kehendak perundangan dan keselamatan yang berkaitan,” katanya.
Selain itu, katanya, prosedur itu ditetapkan bagi memelihara kemampanan industri perlombongan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta perlindungan terhadap alam sekitar.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak menafikan Bajet 2024 menunjukkan unjuran defisit berjumlah RM514.52 juta berbanding defisit tahun 2023 berjumlah RM467.12 juta iaitu penambahan sebanyak RM47.40 juta.
”Bagaimanapun, dengan mengambil kira semua komitmen kerajaan negeri dan anggaran hasil Kerajaan Negeri Tahun 2024 yang terhad berjumlah RM533.08 juta, maka bajet defisit ini tidak dapat dielakkan.
”Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM1,047.60 juta ini perlu dibajetkan untuk memastikan jentera pentadbiran negeri beroperasi dengan efisien, menyediakan platform yang kondusif untuk menjana semula aktiviti ekonomi negeri, dan memastikan program kebajikan serta bantuan rakyat dapat diteruskan,” katanya. – UTUSAN