Sidang DUN: Pemilihan YTL Power jalan projek WTE ikut tatacara telus - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Pemilihan YTL Power jalan projek WTE ikut tatacara telus

YTL Power
AMIRUDIN Shari melihat replika insinerator dalam majlis pecah tanah pembinaan tapak projek Sisa kepada Tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor. -UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilihan syarikat YTL Power International Berhad (YTL Power) sebagai rakan strategik KDEB Waste bagi menjalankan projek loji insinerator sampah kepada tenaga (WTE) dilaporkan dibuat mengikut tatacara perolehan yang telus dan sistematik. 

Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, proses pemilihan dibuat bermula 12 November 2019 dengan pelawaan untuk mengemukakan cadangan atau Request for Proposal (RFP) yang diiklankan secara terbuka.

“Melalui proses RFP, sebanyak 38 syarikat termasuk dari luar negara yang berminat memajukan cadangan mereka. RFP itu kemudiannya dinilai secara komprehensif oleh Jawatankuasa Penilai yang terdiri daripada pakar-pakar professional bidang khusus termasuk dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA). 

“Hasil dari proses pemilihan yang ketat dan teliti pada fasa pertama merangkumi penilaian teknikal – pemerolehan dan semakan data, sebanyak 14 buah syarikat disenarai pendek. Seterusnya, melalui proses penilaian fasa kedua yang meliputi aspek penilaian teknikal dan komersial,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (PN) berhubung proses pemilihan syarikat YTL Power sebagai rakan kongsi KDEB Waste bagi projek loji insinerator WTE.

Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan (PH) dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Ke-15 Tahun 2023 itu menjelaskan, panel penilai turut melakukan penilaian di tapak loji WTE di luar negara bagi menilai sendiri secara fizikal keberkesanannya termasuk teknologi yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan.

“Berdasarkan kepada laporan dan syor daripada Jawatankuasa Penilai, Lembaga Pengarah KDEB Waste pada 16 Disember 2021 meluluskan pemilihan YTL Power sebagai rakan strategiknya bagi pembangunan loji WTE.

“Pemilihan YTL Power dibuat selepas melepasi semua parameter pemilihan yang ditetapkan oleh panel penilai termasuk mengambil kira pengalaman dan kepakaran mereka di dalam sektor tenaga, cadangan penggunaan teknologi yang sesuai dengan sifat sampah atau ‘waste characteristic’ di Malaysia dan reputasi serta kedudukan kewangan syarikat tersebut yang kukuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab tambahan berhubung jaminan KDEB Waste tidak akan ‘ditelan’ oleh YTL Power berdasarkan saiz kewangan kedua-dua syarikat.

“Perjanjian usahasama tersebut juga sudah tentu akan memperincikan perkara berkenaan obligasi KDEB Waste dan YTL Power, termasuk modal, keuntungan, kerugian, kuasa, tanggungjawab, penyelesaian pertikaian, dan sebagainya.

“Kerajaan negeri optimis pembangunan WTE melalui model Kerjasama Awam Swasta (PPP) di antara YTL Power dan KDEB Waste akan dapat membantu kerajaan negeri menguruskan pelupusan sampah dengan lebih efektif dan lestari,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya