Sidang DUN: Pembangkang gesa lanjut tempoh sidang - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Pembangkang gesa lanjut tempoh sidang

Sidang DUN
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dilanjutkan sehingga dua jam bagi membolehkan kesemua 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) berbahas.

Tindakan menghadkan sidang dewan sehingga pukul 4.30 petang dianggap terlalu singkat dan mengganggu proses demokrasi DUN negeri ini untuk membenarkan Belanjawan Selangor 2024 dibahaskan oleh semua ADUN pembangkang.

Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang itu berkata, tindakan itu juga dikhuatiri tidak akan membolehkan ADUN pembangkang berbahas apabila exco dilapor menggulung perbahasan belanjawan pada Jumaat ini.

“Saya minta izin sebelum Speaker keluarkan petua pada pagi ini, saya hendak menyambut apa yang dibangkitkan Sungai Ramal, Peraturan Tetap 11 dan dibaca sekali Peraturan Tetap 17(4), sebenarnya perkara ini boleh diputuskan oleh Speaker untuk melanjutkan tempoh persidangan sehingga satu tempoh lebih sesuai.

“Untuk makluman, saya mengemukakan dua kali surat secara bertulis kepada Speaker untuk memudahcarakan perjalanan sidang ini dengan memberikan nama-nama pembahas daripada ADUN PN yang bersedia untuk berbahas.

“Semalam kita kemukakan enam nama yang bersedia tetapi dipanggil hanya dua. Hari ini saya keluarkan surat menyenaraikan 20 ADUN PN yang sudah bersedia untuk berbahas,” katanya dalam Sidang DUN dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023, hari ini.

Terdahulu, ADUN Sungai Ramal, Mohd. Shafie Ngah (PN) bangkit pada akhir sesi soal jawab sebelum perbahasan Belanjawan Selangor 2024 meminta jika Speaker DUN, Lau Weng San membenarkan sidang dilanjut sehingga pukul 7 malam berdasarkan Peraturan Tetap 11 DUN Selangor.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor menjelaskan lanjutan sidang DUN akan membenarkan tujuh hingga 10 ADUN pembangkang berbahas sebelum penggulungan dibuat.

“Pukul 4.30 petang saya kira terlalu awal, kalau boleh dilanjurkan 6.30 petang sekurang-kurangnya kita dapat libatkan tujuh atau 10 lagi tambahan bagi sehari kerana saya juga dimaklumkan Exco akan menggulung pada Jumaat.

“Kalau itu berlaku mana mungkin dewan ini dapat memberi ruang sepenuhnya kepada semua ADUN,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Mohd Kamri Kamaruddin memberitahu mengambil maklum perkara tersebut untuk dibincangkan bersama Weng San sebelum diputuskan.

“Saya ambil maklum dan akan ajukan kepada Speaker untuk adakan perbincangan mungkin pada hari ini akan dilanjutkan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya