Sidang DUN P. Pinang: Tiada keperluan bina loji rawatan air  - Utusan Malaysia

Sidang DUN P. Pinang: Tiada keperluan bina loji rawatan air 

CHOW Kon Yeow ketika ditemui pemberita pada sidang DUN Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Tiada keperluan untuk loji rawatan air ditempatkan di negeri ini memandangkan Pulau Pinang akan mendapatkan bekalan air terawat dari Perak.

Itu penjelasan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kepada Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) yang mempersoalkan mengapa tidak dibina loji rawatan bekalan air di Pulau Pinang selepas Perak bersetuju membekalkan air kepada negeri itu.

“Ada perbezaan di antara bekalan air mentah dan air terawat, negeri yang disebut (Guan Eng) bekalkan air mentah, kita terima air terawat (dari Perak).

”Kita terima air mentah yang sudah dirawat dari Perak, jadi apakah keperluan loji rawatan air lagi,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu pada sesi perbahasan, Guan Eng berkata, Pulau Pinang sepatutnya membina loji rawatan air sendiri di negeri itu untuk menjamin bekalan air, bukannya membiarkan loji rawatan air dibina di Perak.

Selain itu, Guan Eng berkata, rakyat juga resah apabila memikirkan kemungkinan berlaku kenaikan tarif air selepas Pulau Pinang mendapat bekalan air terawat dari Perak.

Sementara itu, ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dalam sidang akhbar, Kon Yeow berkata, beliau berharap semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pasukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kedua-dua negeri untuk menjalankan sesi rundingan.

“Cuma berlaku satu mesyuarat sahaja di peringkat SUK dua buah negeri dan masih banyak perlu dirunding, kita belum masuk ke peringkat terperinci lagi.

“Saya minta semua pihak bertenang sebab isu ini walaupun sudah berlanjutan bertahun-tahun, kita mencapai satu keputusan di mana pihak kerajaan negeri Perak akhirnya setuju menimbang penjualan air terawat kepada Pulau Pinang,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan loji air terawat adalah satu pilihan yang ada pada masa dahulu kerana Pulau Pinang mahu mendapatkan air mentah dari Sungai Kerian, Perak dan merawat sendiri air mentah berkenaan.

“Itu memang asalnya, sampai kita sudah mula proses pengambilan tanah untuk membina loji, tetapi dengan perkembangan terkini, loji itu pun tidak diperlukan lagi.

“Ini disebabkan yang sampai ke sempadan kita adalah air yang sudah dirawat,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, sebarang rundingan yang berlangsung antara Perak dan Pulau Pinang akan berpandu kepada beberapa kajian teknikal yang telah dilakukan tentang penghasilan air di Sungai Perak.

”Isunya sama ada air mencukupi atau tidak tetapi semestinya mencukupi, berapa diperlukan, berapa diminta dan berapa dapat dibekalkan, semua tertakluk kepada kajian teknikal dan persetujuan kedua-dua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya