Sidang DUN P. Pinang: Pelaksanaan projek terowong dasar laut dipertimbang  - Utusan Malaysia

Sidang DUN P. Pinang: Pelaksanaan projek terowong dasar laut dipertimbang 

ZAIRIL Khir Johari pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan pelaksanaan projek  terowong dasar laut selepas Pelan Induk Pembesaran North Butterworth Container Terminal (NBCT) oleh pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dimuktamadkan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, berdasarkan ulasan SPPP yang diterima oleh kerajaan negeri, kelebaran kawasan navigasi kapal di kawasan perairan di sebelah utara pelabuhan selebar 2.2 kilometer (km) perlu dikekalkan bagi memastikan ruang navigasi yang selamat untuk pergerakan kapal. 

”Terdapat trend ke arah pembinaan kapal yang lebih besar dan saiz kapal yang optimum antara 13,000 unit bersamaan dua puluh kaki (twenty-foot equivalent unit – TEU) hingga 15,000 TEU untuk memasuki atau singgah di pelabuhan.

“Kapal-kapal ini dijangka mempunyai sarat air (draft) maksimum sebanyak 16 meter (m) manakala kedalaman minimum yang selamat untuk laluan selamat (safe passage) bagi kapal-kapal bersaiz ini adalah 23 m dari aras dasar laut,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Sehubungan itu, menurut Zairil (DAP-Tanjung Bunga), antara pertimbangan projek terowong dasar laut adalah kedudukan jajaran terowong supaya tidak menjadi gangguan atau halangan kepada pemanjangan dermaga tambahan.

Sementara itu, berhubung dengan isu berkaitan status projek Pulau Pinang Selatan (PSI), Zairil berkata, susulan  kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pada 21 Julai lalu, penambakan Pulau Silikon telah dimulakan September lalu.

Katanya, ia bermula dengan kerja pemasangan boya yang menandakan kawasan tapak projek dan tirai kelodak yang mengawal serta menangani serakan kelodak semasa kerja penambakan berjalan. 

“Setelah tirai kelodak selesai dipasang dengan baik, kerja pengisian pasir juga telah dimulakan di tapak. 

“Sehingga kini, kira-kira 1.21 hektar tanah telah terbentuk di tapak Pulau Silikon,” katanya.

Tambahnya, mengikut perancangan projek, bidang tanah (parcel) yang pertama iaitu tanah industri yang akan dikenali sebagai Green Tech Parkdijangka siap pada Disember 2025.

”Pulau Silikon yang berkeluasan 930.77 hektar dijangka siap ditambak sepenuhnya pada 2032,” katanya. – UTUSAN

 

ZAIRIL Khir Johari pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya