GEORGE TOWN: Kes penipuan online melibatkan pelbagai jenis ‘scam’ di Pulau Pinang meningkat sebanyak 731 kes atau 45 peratus tahun ini setakat 30 September lalu berbanding sepanjang tahun lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 2,363 kertas siasatan penipuan online dibuka setakat September lalu berbanding 1,632 tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya, bagi menangani isu itu dengan efisien, polis telah melaksanakan beberapa langkah yang strategik dan berkesan.
“Antaranya meningkatkan penguatkuasaan undang-undang iaitu tangkapan dan pertuduhan di mahkamah serta kempen pencegahan jenayah komersial oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Bong Heng (PKR-Kebun Bunga) berhubung kes penipuan online yang direkodkan di Pulau Pinang.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, PDRM juga menjalankan kerjasama di peringkat nasional dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bank Negara (BNM) yang banyak membantu dalam siasatan seperti rangkaian internet serta sistem perbankan.
“PDRM turut menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa melalui Financial Inteligence Unit untuk menyekat transaksi dana di peringkat antarabangsa.
“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi “Semak Mule” yang dibangunkan oleh JSJK bagi memudahkan mereka membuat semakan ke atas nombor akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dalam siasatan polis,” katanya.
Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan menggunakan aplikasi itu sebelum membuat sebarang transaksi kewangan dalam talian. – UTUSAN