GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan seorang bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bertanggungjawab untuk memberi sokongan penuh kepada pucuk pemerintahan semasa yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, ini termasuk menghormati segala keputusan, hala tuju dan corak pucuk kepimpinan serta barisan kepimpinan semasa demi kepentingan rakyat serta kedaulatan Pulau Pinang secara keseluruhan.
“Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam menerima teguran dan kritikan daripada mana-mana pihak yang disalurkan melalui saluran yang betul dan rasmi.
”la dianggap sebagai semak dan imbang yang boleh memberi manfaat penambahbaikan ke atas penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Kon Yeow menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) mengenai peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh bekas Ketua Menteri demi kepentingan negeri dan rakyat Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebarang usaha untuk campur tangan dan mempengaruhi keputusan-keputusan kerajaan negeri harus dielakkan.
“Ini kerana ia akan merencatkan segala usaha dan perancangan kerajaan demi kebaikan rakyat di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada terdapat halangan untuk seorang bekas Ketua Menteri memberikan khidmat kepada rakyat, Kon Yeow berkata, tidak ada halangan untuk individu berkenaan berkhidmat kepada rakyat selepas tamat tempoh memegang jawatan tersebut.
”Di peringkat negara pun saya duduk di dalam Dewan Negara, di depan mata saya ada dua tiga orang bekas Perdana Menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak; Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
“Ramai bekas Perdana Menteri yang masih menunaikan tanggungjawab masing-masing dan mereka masih boleh meneruskan karier politik berdasarkan kedudukan semasa,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, masih belum terdapat cadangan berkenaan penggubalan Enakmen Bekas Ketua Menteri yang mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepadan dua penggal sahaja di Pulau Pinang.
Sementara itu, menjawab soalan Wong Yuee Harng (DAP-Pangkalan Kota) mengenai soal gaji, Kon Yeow berkata, gaji Ketua Menteri Pulau Pinang adalah sekitar RM14,000 manakala gaji barisan Exco sekitar RM12,000.
”Kali terakhir gaji Exco dikaji semula ialah 10 tahun lalu, namun semasa kajian ini dijalankan gaji Ketua Menteri tidak dikaji semula.
”Gaji Ketua Menteri kekal untuk tempoh 20 tahun, beza gaji Ketua Menteri dan Exco hanya RM2,000 tetapi tanggungjawab berlainan,” katanya – UTUSAN