GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff mengulangi gesaan pembangkang supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan peruntukan yang adil kepada mereka.
Muhammad Fauzi (Pas-Sungai Dua) berkata, peruntukkan kepada ADUN-ADUN pembangkang mesti diberikan secara adil untuk memenuhi persamaan hak asasi sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah.
“Di sini saya ingin menyeru supaya kerajaan dalam memberi peruntukkan mestilah adil. Adil kepada semua komuniti kaum, semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama dan kedudukan mereka.
“Setiap ADUN ada peranannya dalam membantu rakyat ditempatnya yang memerlukan bantuan.
“Janganlah sampai ‘genggam tak tiris’ bak kata pepatah orang tua-tua iaitu kedekut. Biarlah rahmah barulah sesuai dengan sifat Madani,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2024 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pada sidang DUN minggu lalu, Zulkefli Bakar (Bersatu-Penanti) turut meminta supaya peruntukan yang diberikan kepada ADUN pembangkang dibuat tanpa sebarang diskriminasi.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengekalkan peruntukan kepada (ADUN) pembangkang sebanyak RM60,000 setahun berbanding wakil kerajaan yang menerima RM500,000 setahun.
Dalam pada itu, Muhammad Fauzi turut menyentuh mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan Kon Yeow pada Jumaat lalu, yang pertama kali perbelanjaan melebihi RM1 billion berbanding pendapatan sebanyak RM533.08 juta, iaitu defisit sebanyak RM514.52 juta (55 peratus).
”Belanjawan dilihat defisit bermula tahun 2011 sehingga 2024 menyebabkan rizab semakin mengecil atau tabungan semakin jatuh sehingga RM1.67 bilion pada 15 November lalu.
“Trend ini sangat tidak sihat kepada kewangan negeri Pulau Pinang. Jika strategi ini berterusan maka dibimbangi kewangan kerajaan negeri tidak lestari untuk jangka masa panjang.
“Saya ingin tahu apa solusi kerajaan dalam mengisi tabungan rizab dan mengecilkan defisit,” katanya.
Tambahnya, hasil penjualan tanah untuk menampung perbelanjaan kerajaan adalah satu langkah yang menyebabkan negeri itu semakin kehilangan aset yang berharga.
“Jangan sampai semua tanah negeri ini tergadai kepada pihak lain. Kerajaan negeri boleh mengusahakan tanah kerajaan dengan kaedah Private Public Partnership (PPP) atau Usahasama Sektor Kerajaan dan Swasta,” katanya. – UTUSAN